3G

Minggu ketiga program realiti. Maharaja Lawak Mega (MLM) yang berlangsung di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu memperlihatkan aksi yang tidak kering gusi oleh setiap kumpulan dan peserta.


Aksi kumpulan 3G yang dianggotai oleh tiga pelawak iaitu Enot, Didie Alias dan Yassin paling mencuri tumpuan sehingga berjaya membuatkan juri dan penonton ketawa terbahak-bahak.


Melakonkan watak hantu yang menggambarkan perbezaan bangsa dengan pemilihan kostum yang amat berkesan menjadikan 3G sebagai kumpulan pilihan juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.


Persembahan yang turut diserikan dengan alunan muzik untuk menguatkan lagi jalan cerita dan tarian oleh mereka membuatkan seisi dewan bertepuk tangan.


Keserasian antara ketiga-tiganya juga jelas terserlah apabila masing-masing memainkan peranan bagi menyajikan persembahan yang menghiburkan.


Persembahan 3G pada malam yang mengangkat tema bebas itu juga turut mendapat pujian barisan juri tetap yang lain iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Zainal Abidin Hassan dan juri jemputan, Art Fazil.


Selain 3G, kumpulan yang tidak kurang hebatnya dan mendapat pujian dari juri ialah kumpulan Pimai (Sathia, Imuda dan Mat Over) dan kumpulan Boboi (Harun Salim Bachik dan Afdlin Shauki).


Cari idea bersama

Bagi 3G, idea persembahan pada minggu itu adalah hasil idea sesama mereka setelah membuat perbincangan.


Menurut Didie Alias, setiap minggu, mereka akan memastikan kualiti pada setiap persembahan dari segi idea dan juga penampilan.

“Kami amat menitikberatkan kualiti persembahan kerana bagi kami, penonton akan ketawa jika kita menghasilkan mutu yang baik. Yang penting, lawak yang dihasilkan perlu ada perbezaan dari lawak sebelumnya agar penonton tidak bosan.


“Apabila kami duduk berbincang bersama, kami sama-sama akan lontarkan idea dan idea yang terbaik akan dipilih. Kami akan warnai idea itu dengan cara yang kreatif.

“Untuk melawak, bukan sekadar ungkapan perkataan sahaja kerana penampilan dan kostum yang sesuai akan membangkitkan minat penonton,” katanya mewakili anggota yang lain.

Mereka turut menyatakan bahawa keserasian dan persefahaman dalam kalangan ahli adalah faktor utama untuk menghasilkan persembahan yang terbaik.


Enam penyingkiran

Malam minggu ini menyaksikan lima penyingkiran pada awal persembahan dan satu penyingkiran pada akhirnya.


Kumpulan yang disingkirkan pada awal persembahan ialah kumpulan Gebu, Caer, Comel, Lanun dan Rap. Sementara, kumpulan yang layak bertanding adalah 12 peserta yang terdiri daripada Kumpulan Boboi, Pimai, Hiro, Anje, Syok, Bawal Power, JH (Jalil Hamid), Adlin Aman Ramli, 3G, Bawel, Saehu dan Osbon.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, lima peserta yang mendapat markah terendah pada minggu sebelumnya akan disingkirkan pada permulaan minggu ketiga.

“Menurut format dan perbincangan yang dipersetujui, penyingkiran akan berlaku pada minggu ketiga dan kami sepakat menetapkan lima penyingkiran.


“Besar atau kecil penyingkiran itu bergantung kepada mutu persembahan peserta pada setiap minggu. Peserta yang memainkan perana dalam proses penyingkiran,” katanya yang turut menetapkan tema pada persembahan minggu keempat.


Komen Chef Wan ‘pedas’?

Peluang yang diberikan untuk membuat persembahan nyata tidak dimanfaatkan sepenuhnya kumpulan Anje (Acong dan Joey) apabila mereka tersingkir di akhir rancangan.

Lawak Anje yang hambar jelas dibuktikan melalui persembahan mereka yang langsung tidak diserikan dengan tepukan dan sorakan gemuruh.

Menurut Acong, mereka telah berbincang di awal persembahan dan mendapat 18 idea untuk dipilih pada malam itu.


Bagaimanapun, percaturan mereka mengetengahkan kisah toyol dan tuannya gagal menarik minat juri dan penonton apabila menduduki tangga tercorot dengan 39 peratus undian.


Berdasarkan komen yang diberikan Chef Wan terhadap persembahan mereka, penonton juga seolah-olah dapat menjangka Anje bakal tersingkir.

Hal ini turut diakui oleh kumpulan tersebut kerana komen yang diberikan oleh Chef Wan amat ‘pedas’ dan menyinggung perasaan mereka.


“Kami dah cuba buat yang terbaik tapi mungkin tiada rezeki kami dipentas ini. Mana tidaknya, kami di kelilingi oleh otai-otai lawak, sedangkan kami hanyalah pelakon dan penyanyi.

“Mungkin itu adalah salah satu sebab mengapa kami tidak boleh melakukan yang terbaik. Bagaimanapun, kenangan dan ilmu yang kami dapat di sini tidak akan dapat di mana-mana.

Walaupun komen yang diberikan amat ‘pedas’, itulah yang harus kami terima,” kata Acong yang turut disokong oleh Joey.


Saya lakukan demi penonton: Chef Wan


Sementara itu, chef selebriti terkenal, Chef Wan, mengatakan penyingkiran Anje dibuat demi penonton.

Katanya, dia hanya membuat ulasan dan komen dari pandangan penonton kerana persembahan yang dihasilkan oleh kumpulan itu benar-benar mengecewakannya.

“Saya tidak kisah apa sahaja spekulasi yang timbul selepas ini kerana saya berkata perkara yang benar. Keputusan ini bukanlah keputusan saya seorang kerana kami berbincang terlebih dahulu sebelum mengumumkannya.


“Walaupun saya tidak terlibat dalam bidang lawak, saya menonton banyak program komedi. Bukan sahaja di Malaysia, malah program lawak di negara lain juga turut saya tonton. Jadi, saya bercakap mengikut pengalaman saya sebagai penonton. Kalau nak ‘bantai’ saya lepas ni pun, saya terima kerana saya tidak merasakan itu adalah sesuatu yang salah,” katanya yang turut kecewa dengan prestasi peserta yang menurun pada minggu ini.


Pi Mai ungguli carta

Walaupun 3G mendapat pujian daripada juri, persembahan pada malam itu berjaya diungguli oleh kumpulan Pimai sebanyak 62 peratus undian.


Bagaimanapun, 3G mungkin mampu menggugat kedudukan itu apabila mengekori rapat di tangga kedua dengan jumlah undian yang sama iaitu 62 peratus.

Tempat ketiga, kumpulan Boboi (57), keempat, Saehu (55) dan Osbon ditempat keenam (53). Seterusnya, diikuti oleh Jalil Hamid (48), Bawel (47), Bawal Power (47), Adlin (46), Syok (42) dan Anje (39).


Sistem pemarkahan melibatkan penilaian juri sebanyak 70 peratus dan undian penonton sebanyak 30 peratus.