Walaupun usianya telah menjangkau 75 tahun, ia tidak menjadi halangan bagi pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar, untuk terus beraksi di pentas atau di layar perak.
Menurut pelakon yang popular dengan gelaran, Anjang Aki ini, selagi dirinya masih diterima sebagai pelakon, selagi itulah semangatnya untuk berlakon tidak pernah padam.
“Saya akan berlakon selagi saya mampu. Tetapi, tidak semestinya semua tawaran saya akan terima kerana dalam segi lakonan, saya akan mengutamakan watak dan peranan yang saya pegang dalam sesebuah cerita.
“Dari dulu lagi, saya hanya berlakon jika watak tersebut bersesuaian dengan saya dan mempunyai nilai pengajaran dan nasihat berguna kepada masyarakat.
“Saya tidak akan berlakon watak-watak yang menggambarkan kecetekan ilmu dan tiada mesej yang disampaikan kerana bagi saya, pengajaran dalam sesebuah cerita perlu diutamakan.
“Namun, tidak semua orang berfikiran seperti saya kerana ia mengikut selera dan kehendak masing-masing,” katanya yang bakal muncul dengan teater Semerah Padi di samping pelakon Zul Huzaimy, Fauzi Nawawi, Jue Aziz, Baby Erin dan Fazlina Datuk Ahmad Daud.
Teater terbitan, Keno Production, ini akan dipentaskan pada 22 hingga 31 Disember ini.
Meraikan Perdana Menteri Pertama
Bercerita mengenai penglibatan awal, Baharuddin, sememangnya berdarah seni. Beliau mewarisi bakat bapanya, seorang pelakon, walaupun mengalas tugas sebagai guru.
Malah beliau telah berkecimpung dalam pementasan teater sejak awal 50-an lagi. Ketika itu, negara kita masih belum merdeka.
Berkongsi pengalamannya ketika itu, Menurut Baharuddin, beliau pernah terlibat dengan persembahan untuk menyambut kepulangan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, dari kota London, pada tahun 1955.
Pada masa itu, pentas teater dimonopoli penggiat teater Inggeris dan peluang untuk penggiat Melayu untuk berkarya adalah amat tipis.
“Saya menganggotai Kumpulan Peseni Kuala Lumpur ketika itu. Kepulangan rombongan Perdana Menteri dari London disambut dengan penuh kemeriahan dengan pelbagai jenis persembahan.
“Pada masa itu, keinginan untuk berlakon di kaca TV memang ada tetapi masih tidak berpeluang. Sehinggalah Radio Televisyen Malaysia (RTM) mula menawarkan saya untuk berlakon pada tahun 1967 melalui drama Tanah Pusaka.
“Ketika itu, tidak dapat digambarkan perasaan saya kerana inilah saat-saat yang ditunggu sejak sekian lama. Tambahan pula, saya diberi tanggungjawab untuk menggalas watak utama dalam drama ini.
“Saya suka berlakon kerana bagi saya, pelakon akan bertindak sebagai peniup semangat perjuangan kepada masyarakat melalui pentas lakonan. Lakonan bukan sekadar untuk melampiaskan minat tetapi sebagai pembimbing masyarakat,” katanya yang pernah mewarnai drama Perajurit Pulang dan Bangsawan.
Pelakon sekarang bertuah
Ditanya mengenai perkembangan industri dulu dan sekarang, Baharuddin, mengakui industri kini semakin berkembang pesat dengan kehadiran muka baru dan juga penubuhan pelbagai syarikat produksi.
Katanya, jika dibandingkan dengan industri dulu, ruang untuk berlakon memang luas tetapi tidak ramai yang berpeluang kerana syarikat produksi tidak banyak.
“Ketika itu, syarikat produksi yang betul-betul aktif hanyalah RTM dan Filem Negara sahaja. Jadi, ia tidak dapat menampung dan mengeluarkan karya yang banyak seperti sekarang.
“Muka-muka baru sepatutnya kena bersyukur dengan perkembangan industri sekarang kerana mereka mempunyai banyak peluang untuk berkarya asalkan betul-betul serius untuk berlakon.
“Pada pandangan saya, di sebalik kesan positif pada perkembangan industri ini, terdapat juga kesan negatif kerana semakin ramai artis, semakin banyak produksi seperti cendawan tumbuh, mutu dan kualiti sukar untuk didapati.
“Ada sesetengah daripada muka baru yang mengharapkan rupa sahaja tetapi tiada bakat. Produksi pula hanya mengikut pasaran dan tidak memilih mereka yang betul-betul berbakat,” katanya yang turut menasihati pelakon baru agar lebih menghormati mereka yang lebih lama.
Sedih dengar lagu Ahmad Jais
Pemergian penyanyi veteran, Allahyarham Datuk Ahmad Jais, pada Oktober lalu, turut dirasai Baharuddin. Sementelah lagi mereka adalah kawan baik dan sering menghabiskan masa bersama.
“Sejak pemergiannya, saya tidak boleh lihat gambar dan dengar lagu-lagunya. Saya terlalu sedih apabila stesen radio secara tidak langsung memutarkan lagu-lagunya.
“Saya sering menangis seorang diri apabila mengenangkan arwah. Dia seusia dengan saya dan saya seperti dapat rasakan, waktu saya juga sudah tidak lama.
“Semasa arwah ada, saya sempat melawatnya dua kali di rumah. Dia juga sempat menawarkan saya sejenis ubat yang boleh memberikan tenaga dan kesihatan. Arwah kata, selepas minum ubat itu, dia rasa lebih sihat.
Tak sangka, dia pergi lebih awal daripada saya,” katanya yang sempat memberikan penghormatan terakhir ketika arwah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam.
Menangis kenang nasib negara
Pernah bergelar perajurit, satu ketika dulu, membuatkan Baharuddin sangat peka dengan isu semasa yang membabitkan perpaduan kaum dan isu yang boleh mengancam keamanan negara.
Ada kalanya, jika tercetus sesuatu perkara yang boleh menggugat perpaduan, Baharuddin akan menangis seorang diri mengenangkan tanah air yang dulunya diperjuangkan untuk mendapatkan keamanan.
“Semasa bergelar tentera perajurit, selama bertahun-tahun saya tidak jejak kami ke rumah sendiri kerana berada di hutan untuk memastikan negara tidak dijajah.
“Apabila saya balik rumah, anak-anak dah tak kenal saya. Tapi, inilah sebenarnya pengorbanan kepada negara kita. Tiada apa yang paling berharga selain bangsa dan negara.
“Tetapi, kini semua itu bagaikan semakin hilang apabila sesama bangsa mempertikaikan isu yang tidak wajar dan ada kalanya tidak masuk akal.
“Begitu juga dengan isu ‘panas’ baru-baru ini yang menyokong hubungan seks antara sejenis, seksualiti merdeka yang menandakan kita semakin hilang kewarasan,” katanya yang kini aktif bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Ingin buat pameran lukisan
Di sebalik kebanggaannya terhadap karier dan keluarga besar yang dimiliki, masih terselit impian yang ingin direalisasikan. Menurut bapa kepada tiga anak dan 20 cucu ini, beliau ingin mempamerkan hasil kerja tangannya untuk tatapan peminat. Jelasnya, beliau sudah lama minat melukis dan akan melukis apa sahaja yang muncul di kotak fikirannya.
“Setakat ini, saya sudah ada 40 keping lukisan. Tapi, di rumah saya hanya ada beberapa keping sahaja kerana tiada ruang untuk menyimpan lukisan ini. Yang lain, saya simpan di kampung saya di Kuang, Selangor.
“Kalau boleh, saya ingin pamerkan lukisan ini dalam galeri untuk peminat. Tapi, buat masa ini, masih tiada peluang itu. Saya harap, sebelum saya pergi, saya ingin realisasikan impian ini,” katanya yang mengharapkan ada pihak yang sudi bekerjasama bagi merealisasikan impiannya itu.
Menurut Baharuddin, beliau juga pernah melelong lukisannya untuk membantu rakyat Gaza yang ditimpa bencana. Ketika itu, satu lukisan berjaya dijual dengan harga RM500 dan wang itu diberikan kepada tabung Gaza.
“Banyak kos untuk menghasilkan sesebuah lukisan. Jadi, saya juga memerlukan tempat sesuai untuk simpan lukisan ini. Rumah lama saya di Kuang pun dah tidak kukuh lagi kerana tiada siapa yang tinggal di situ.
“Jika lukisan ini terkena air, ia akan rosak. Jadi, rugilah saya kerana setiap lukisan yang dihasilkan memerlukan kos tinggi, termasuk penggunaan warna dan pemilihan bingkainya,” katanya yang kini aktif menerima undangan ceramah motivasi di sekolah dan majlis keramaian.
Monday, November 14, 2011
Semangat Anjang Aki
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: