|
|
KEHADIRANNYA dilihat telah membawa gelombang baru dalam industri muzik tempatan dengan genre R&B dan soul yang telah mengukuhkan identitinya sebagai penyanyi irama itu.
Walaupun ada yang berpendapat penglibatannya dalam bidang seni tidak lebih daripada menggunakan latar belakang keluarganya yang bukan lagi satu rahsia itu, namun Najwa Mahiaddin atau Najwa ini sentiasa berfikiran positif.
Melancarkan album perdananya, Innocent Soul pada Mac lalu, Najwa melahirkan rasa gembira dan teruja apabila masyarakat dan peminatnya lebih memandang kepada bakat.
“Alhamdulillah, selepas enam bulan berada di pasaran, saya fikir dengan penjualan album saya sebanyak 4,000 unit itu bagaikan memberi petanda bahawa kehadiran saya diterima dengan baik oleh pencinta muzik tempatan.
“Lahirnya saya ke dunia seni bukan untuk meraih pengiktirafan mahupun mencipta populariti sembarangan tetapi saya mahu membuktikan menerusi Innocent Soul bahawa saya benar-benar serius dengan muzik saya.
“Segala kritikan saya terima. Yang mana dapat memberikan kebaikan dan membantu saya ke arah yang lebih positif, saya ambil lalu memperbaiki diri dalam usaha untuk menjadi seorang penghibur yang berjaya,” ujar Najwa dalam nada cukup optimis sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Kritikan
Meskipun Innocent Soul berjaya mendapat tempat di kalangan pencinta muzik tanah air, sebagai pengkarya, Najwa sememangnya tidak terlepas daripada kritikan segelintir pihak yang merasakan penghasilan album tersebut sebagai syok sendiri.
Manakan tidak, genre muzik yang ditampilkan dalam album itu lebih cenderung untuk khalayak bandar dan tidak mempunyai lagu-lagu yang mampu meninggalkan impak besar melainkan lagu Got To Go sahaja.
Barangkali dakwaan itu ada kebenarannya kerana nama Najwa dilihat masih belum mampu menakluk peminat muzik arus perdana sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi wanita popular sedia ada.
Sebagai penghibur yang sedang mencipta nama, inilah harga yang perlu dibayar oleh Najwa apabila dia tidak mampu meloloskan dirinya daripada dikritik oleh masyarakat.
Menyentuh perihal itu, penyanyi bermata galak ini sedikit pun tidak melenting mahupun menunjukkan rasa kurang selesa sewaktu diajukan soalan itu. Sebaliknya, dengan penuh diplomasi, dia memberikan penjelasan.
“Setakat ini, belum pernah saya mendapat maklum balas yang mengatakan saya ini seorang yang syok sendiri apabila menghasilkan Innocent Soul. Memang pada mulanya, saya bimbang seandainya masyarakat tidak dapat menerima genre yang ingin saya perjuangkan ini.
“Namun, apabila difikirkan kembali, sampai bila industri muzik kita harus berada di takuk yang lama. Sebagai bakat baru, saya merasakan ini adalah satu tanggungjawab saya untuk industri dengan mengenengahkan jalur muzik yang baru.
“Saya percaya perubahan tidak mampu dilakukan semalaman. Ia memerlukan masa. Ini adalah satu permulaan untuk saya dalam memberikan nafas baru untuk industri.
“Penerimaan terhadap album Innocent Soul telah membuktikan bahawa ia diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat termasuk peminat di luar bandar,” ujar Najwa panjang lebar sambil memberitahu dia menerima maklum balas daripada peminatnya menerusi Twitter.
Perubahan
Menyambung bicara, penghibur muda berusia 24 tahun itu menjelaskan, dia tidak mahu terburu-buru dalam melakukan perubahan menerusi muziknya kerana Najwa sendiri masih baru dalam bidang seni dan perjalanannya masih lagi jauh.
Mengambil Innocent Soul sebagai contoh, album tersebut kata Najwa, adalah umpama dokumentasi muzik dan lagu yang sering dipersembahkannya sebelum dia mengambil keputusan merakamkan album sekali gus menjadi penyanyi sepenuh masa.
Atas alasan tersebut, album itu diterbitkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
“Saya yakin dengan pegangan dan prinsip yang saya perjuangkan. Dan, semuanya sudah dibuktikan.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak merasakan saya seorang pengkarya yang hebat. Kerana apa yang saya lakukan adalah lahir dari hati yang tulus dan mahu pendengar dapat menghubungkan diri mereka dengan karya saya.
“Alhamdulillah, ia menjadi dan saya menjadi teruja apabila ada di antara peminat memberitahu mereka begitu terkesan dengan lagu saya dan mempunyai kisah hidup sendiri menerusi lagu-lagu itu.
“Daripada situ, ia membuktikan bahawa kejujuran saya menghasilkan lagu-lagu dapat diterima dengan baik.
“Itu sudah merupakan satu kejayaan buat saya. Malah, ia mendorong saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini,” ujarnya yang mengagumi Erykah Badu, Jill Scott, Billie Holiday dan Marvin Gaye.
Mungkin ada yang menyangka laluan seni Najwa begitu mudah sehingga dia dikenali seperti hari ini.
Namun, hakikatnya kata Najwa, ia tidak semudah yang disangka kerana dia sendiri pernah berhadapan dengan kerenah birokrasi stesen radio tempatan sewaktu mula-mula hendak menapak sebagai penyanyi.
Ceritanya, stesen radio Melayu popular tersebut bagaikan acuh tidak acuh sewaktu Najwa bertemu dengan pihak pengurusan untuk mencari peluang bagi menyiarkan single pertamanya, Sweet October.
Pengiktirafan
Dengan hanya memutarkan lagu tersebut dalam tempoh beberapa saat sahaja, lagu tersebut seperti dianaktirikan dan akhirnya tidak mendapat tempat untuk diputarkan di stesen berkenaan.
“Saya melihat apa yang berlaku itu sebagai sumber kekuatan untuk saya menjadi lebih optimis dalam kerjaya saya.
“Apa pun, saya bersyukur kerana stesen radio Inggeris tempatan terutamanya tidak meminggirkan lagu-lagu saya. Begitu juga dengan stesen Melayu lain yang juga memberi peluang kepada lagu saya untuk dimainkan,” ujar penuntut tahun dua Kolej Muzik Berklee, Amerika Syarikat itu sambil melemparkan senyuman manis.
Berkat kesungguhan Najwa itu ternyata berbalas apabila dia menerima empat pencalonan dalam tiga kategori pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 yang lalu (ketika artikel ini ditulis, keputusan masih belum diketahui).
Dia dicalonkan untuk Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu dan dua pencalonan bagi Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.
Katanya, dia benar-benar terharu dan tidak menyangka karyanya mendapat tempat di kalangan pihak juri.
Seperti mana yang dikatakan Najwa sebelum ini, dia tidak menghasilkan album mahupun lagu atas dasar mahu diiktiraf dengan anugerah.
Tetapi bidang muzik bagi Najwa adalah tempatnya untuk meluahkan ekspresi jiwa seninya yang luhur.
“Kalau kita berkarya semata-mata mahu mendapatkan pengiktirafan, ia bukanlah satu kerja yang ikhlas. Ia akan membuatkan kita sendiri tidak jujur dengan karya kita. Mungkin kedengaran agak klise, tetapi bagi saya pengiktirafan itu adalah satu bonus.
“Apa yang membuatkan saya seronok dengan pencalonan itu apabila saya tercalon bersama-sama rakan seperjuangan saya seperti Reza Salleh, Yuna dan Aizat yang masing-masing cukup saya hormati
“Begitu juga dengan kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik di mana saya dicalonkan sekali bersama-sama penyanyi senior seperti Anita Sarawak dan Jaclyn Victor yang cukup saya kagumi.
“Itu sahaja sudah membuatkan saya benar-benar rasa bertuah,” katanya yang membuat persembahan pembukaan pada malam gemilang itu yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: