Tuesday, November 1, 2011

Pemeriksaan Imigresen Dalam Pesawat

Jabatan Imigresen sentiasa menambahbaik perkhidmatan termasuk usahanya untuk mengurangkan kesesakan di bahagian pemeriksaan imigresen di LCCT.

ISU Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang, Selangor tidak pernah padam dalam diari terminal itu sejak pembukaannya pada 26 Mac 2006.

Antara yang sering menjadi bualan dan dakwaan banyak pihak adalah kesesakan di LCCT berikutan peningkatan bilangan penumpang dan penerbangan saban tahun.

Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) sebagai pengendali lapangan terbang itu menjangkakan seramai 18 juta penumpang akan menggunakan LCCT pada tahun ini.Jangkaan tersebut menyaksikan peningkatan lebih kurang 20 peratus berbanding 15.3 juta orang menggunakan LCCT tahun lalu.

Ini bermakna kepadatan yang semakin bertambah itu pastinya menyesakkan lagi atmosfera terminal bagi pengguna penerbangan tambang rendah.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia yang merupakan operator utama di terminal itu menjadi mangsa dan kini Jabatan Imigresen pula terkena tempiasnya.

Mana tidaknya apabila segelintir penumpang merungut kerana terpaksa beratur panjang dan menunggu lama untuk menjalani pemeriksaan imigresen.

Sesiapa pun akan berang jika tempoh menunggu berlarutan sehingga 45 minit meskipun alasan disebabkan oleh waktu puncak dengan banyak penerbangan.

Projek perintis

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen amat prihatin dan sentiasa menambahbaik kualiti perkhidmatan demi memenuhi keperluan dan keselesaan pelanggan.

Datuk Alias Ahmad

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, penambahbaikan perkhidmatan imigresen dilakukan dari semasa ke semasa.

“Dengan perkembangan pesat penumpang dan peningkatan penerbangan terutama pada waktu puncak menyebabkan kesesakan di LCCT.

“Ia terus menjadi kebimbangan kami meskipun tempoh menunggu pemeriksaan imigresen di kaunter kini tidak melebihi 15 minit bagi setiap penerbangan.

“Oleh itu, Jabatan Imigresen merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan imigresen dalam pesawat menerusi pelaksanaan projek perintisnya seawal-awalnya pada November ini,” katanya kepada Mingguan mStar ketika ditemui baru-baru ini.

Alias berkata, pemeriksaan imigresen dalam pesawat bertujuan untuk memudahkan operasi jabatan itu di LCCT sekali gus mengurangkan kesesakan di terminal.

“Kami akan memilih penerbangan yang melebih tiga jam bagi melaksanakan projek perintis itu namun Bangkok dilihat sebagai destinasi paling bersesuaian buat masa ini.

“Ia bagaimanapun masih dalam peringkat kajian dan tinjauan bagi meneliti sejauh mana perkhidmatan imigresen dalam pesawat dapat dilaksanakan,” katanya.

Menerusi idea daripada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen bekerjasama dengan AirAsia bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan penerbangan berisiko rendah bagi memudahkan operasi dan menilai tahap keberkesanannya.

“Kami berpandukan pada prosedur operasi standard (SOP) kerana pelaksanaan ini kelak melibatkan isu keselamatan,” katanya yang akan memperluaskan lebih banyak destinasi sekiranya projek perintis berjalan lancar.

Pertama dunia

Jabatan Imigresen akan mengkaji tempoh pemeriksaan bagi setiap penumpang bagi menyelaraskan tempoh itu seperti di kaunter imigresen di lapangan terbang.

“Bagaimanapun, ia sebagai panduan sahaja (dalam menetapkan operasi untuk satu-satu destinasi), tidak semestinya memerlukan penerbangan minimum tiga jam.

“Hasrat kita adalah sebaik sahaja satu-satu pesawat itu mendarat di lapangan terbang (LCCT), semua penumpang sudah pun melalui pemeriksaan imigresen,” katanya.

Alias menjelaskan, penumpang tidak akan dikenakan pemeriksaan sekali lagi di lapangan terbang melainkan terdapat masalah atau memerlukan rujukan lanjut.

Katanya, ia bukan sekadar pemeriksaan dokumen penumpang bahkan turut melibatkan penggunaan kaedah biometrik dan cop pengesahan.

“Pemeriksaan imigresen dalam pesawat akan meningkatkan keberkesanan lebih 50 peratus terhadap kecekapan operasi imigresen di LCCT.

“Ia mungkin bukan yang pertama di dunia, namun ia merupakan pemeriksaan imigresen menggunakan sistem biometrik yang pertama di dunia,” kata Alias.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: