Tuesday, November 1, 2011

Melancarkan Kesesakan LCCT

Gambaran keadaan pegawai imigresen (kiri) dan kru kabin AirAsia meneliti senarai penumpang sebelum melakukan pemeriksaan dalam pesawat.

SETAKAT ini, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia telah menerbangkan seramai 120 juta penumpang.

Tahun lalu sahaja AirAsia menerbangkan sejumlah 16.1 juta penumpang dan daripada jumlah itu, enam juta penumpang melalui Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Zaman Ahmad

Pengurus Strategi, Inovasi dan Pengalaman Pelanggan AirAsia, Zaman Ahmad berkata, perkembangan itu menjadikan AirAsia sebagai operator utama di LCCT.

“LCCT merupakan antara hab penerbangan bagi AirAsia kerana menerbangkan hampir 95 peratus penumpang di LCCT.

“Ini menyebabkan segelintir penumpang akan menyalahkan AirAsia terlebih dahulu jika terdapat sebarang kelewatan di LCCT,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Peningkatan bilangan penumpang menyebabkan mereka semakin sensitif terhadap perkara itu terutama melibatkan penghubung penerbangan (connecting flight) kerana secara asasnya AirAsia menawarkan penerbangan dari satu destinasi ke satu destinasi.

Selain itu, penumpang turut menjangkakan AirAsia akan beroperasi seperti mana dilakukan oleh syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

Zaman bagaimanapun berkata, AirAsia sebenarnya mengamalkan model penerbangan tambang rendah dengan bermatlamat untuk memperoleh keuntungan lebih baik.

“Berdasarkan perkembangan pesat terhadap bilangan penumpang dan penerbangan sedikit-sebanyak menimbulkan kesesakan di LCCT,” katanya.

LCCT lebih baik

Menurut Zaman, jumlah penerbangan boleh mencecah sehingga 20 pesawat manakala bilangan penumpang mencecah 3,800 orang dalam tempoh sejam pada waktu puncak.

Jabatan Imigresen melahirkan idea itu: “Kenapa tidak melaksanakan pemeriksaan imigresen dalam pesawat?” Dan AirAsia melihatnya sebagai idea yang bernas.

Beliau menambah, dengan pemeriksaan imigresen dalam pesawat, penumpang tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan di lapangan terbang.

“Penumpang boleh terus menuju ke bahagian tuntutan bagasi sekali gus menjimatkan masa mereka dan ini mengurangkan kesesakan di LCCT,” katanya.

Walaupun AirAsia hanya beroperasi di LCCT dalam tempoh kurang dua tahun lagi sebelum berpindah ke KLIA2 sebagai terminal tambang rendah yang baru, usaha untuk memberi keselesaan kepada penumpang di terminal itu masih diteruskan.

Zaman berkata, AirAsia melangkaui batasan daripada syarikat penerbangan tambang rendah kerana memberikan keselesaan itu bukan sekadar untuk tiba ke destinasi.

“Kerjasama antara Jabatan Imigresen dan AirAsia akan memberi banyak kebaikan bukan sahaja kepada kedua-dua pihak bahkan turut dirasai pihak lain,” katanya.

Menurut beliau, ia memberi manfaat kepada Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kerana pelaksanaan itu akan menjadikan LCCT sebagai sebuah terminal lebih baik.

“Ini kerana berdasarkan kajian dalaman, kira-kira 50 peratus penumpang yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan AirAsia disebabkan oleh LCCT.

“Punca berkenaan meliputi beberapa faktor seperti kesesakan di terminal dan keadaan parkir selain tempoh menunggu yang panjang bagi pemeriksaan imigresen,” katanya.

Pengalaman penumpang

Dalam pada itu Zaman berkata, pelaksanaan pemeriksaan imigresen dalam pesawat hanya mengutamakan penerbangan yang penting berdasarkan persetujuan antara Jabatan Imigresen dan AirAsia.

Selain itu, kehendak penumpang perniagaan yang mahu bergerak pantas ke destinasi dan mereka yang begitu sensitif terhadap ketetapan masa turut diberikan perhatian.

“Bandar-bandar besar di Asia yang mempunyai bilangan penumpang kategori itu seperti Bangkok, Jakarta dan Singapura termasuk Kuala Lumpur.

“Kami meneliti beberapa cabaran berhubung pelaksanaannya dan berusaha untuk menyelesaikannya terutama melibatkan operasi dan keselamatan,” katanya.

Zaman berkata, pelbagai inisiatif dirancang oleh AirAsia bagi memberi keselesaan kepada penumpang seperti program menghubungkan penerbangan atau Fly-Thru yang turut disifatkan membantu mengurangkan kesesakan LCCT tanpa perlu melalui pemeriksaan imigresen.

“Ini berikutan sebahagian penumpang menjadikan Kuala Lumpur (LCCT) sebagai transit untuk mereka ke destinasi lain.

“Begitu juga menerusi kerjasama AirAsia dengan Jabatan Imigresen dalam melaksanakan pemeriksaan imigresen dalam pesawat bagi menangani masalah itu di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: