KETIKA ditanya antara pasar moden dan pasar basah berkonsep terbuka yang mana lebih menjadi pilihan masyarakat kita, rata-rata memberikan reaksi berbeza.
Generasi muda cenderung memilih pasar canggih dilengkapi kemudahan (jika boleh mahukan pendingin hawa), bertentangan dengan generasi lama yang tanpa teragak-agak menaikkan ibu jari tangan tanda berpuas hati dengan pasar sedia ada.
“Dah biasa...”, itulah jawapan paling tepat jika ada yang bertanya mengapa ramai peniaga dan pengunjung pasar tidak kisah dengan soal kebersihan dan rupa pasar lama yang hodoh.
Muka-muka peniaga dan pengunjung muda tetap ada, cuma bilangan mereka ini boleh dihitung dengan jari.
Apa pun tanggapan masyarakat tentang pasar, sudah sampai masanya tempat menjual makanan basah dan kering di negara ini melalui satu proses transformasi seiring pembangunan negara.
Longkang dan sistem perparitan perlu diperbaiki, tahap kebersihan dan keselamatan perlu dipertingkatkan, kemudahan elektrik dan air harus diselaraskan dan keadaan fizikal bangunan pasar perlu sentiasa dibaik pulih dari semasa ke semasa.
Kajian terperinci perlu dibuat agar kaedah berkesan untuk mengubah pemikiran dan sikap peniaga yang berada di zon selesa ini dapat diubah.
Adalah menjengkelkan jika bangunan pencakar langit ‘naik’ hampir setiap hari di tengah kota dan bandar-bandar utama negara, tetapi bangunan bernama pasar dibiar beroperasi di takuk lama.
Ini tidak pula bererti kerajaan harus membelanjakan jutaan ringgit untuk membina bangunan ‘pasar pencakar langit’, cukuplah dengan melakukan sesuatu agar pasar-pasar tua ini relevan dengan zaman dan selesa dikunjungi.
Tidak salah mewujudkan banyak pasar moden menggantikan pasar lapuk, tetapi kehendak dan keperluan peniaga harus dipertimbangkan agar periuk nasi mereka tidak tergugat.
Tidak sesuai di tengah kota
Pasar Jalan Raja Bot atau lebih dikenali Pasar Chow Kit, Pasar Datuk Keramat, Pasar Pudu dan beberapa lagi pasar basah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang merupakan contoh pasar yang layak dikatakan ketinggalan zaman.
Pasar Chow Kit (laporan muka depan Mingguan mStar Ahad lalu) dilihat ‘terselamat’ apabila ia tersenarai dalam hasrat kerajaan untuk mewujudkan Greater Kuala Lumpur menerusi inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Justeru, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memodenkan Pasar Chow Kit ketika lawatannya ke situ Julai lalu wajar diberi perhatian khusus, bukan sekadar cadangan di atas kertas sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: