Saturday, November 5, 2011

Mustafa juaraBarista Secret Recipe

MUSTAFA (tengah) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Barista Secret Recipe 2011.



BARISAN sembilan peserta di peringkat separuh akhir yang bersaing untuk merebut gelaran juara Barista Secret Recipe.


RANGKAIAN kedai kek dan kafe terkemuka di Malaysia, Secret Recipe buat pertama kalinya menganjurkan Pertandingan Barista Secret Recipe 2011 peringkat Lembah Klang yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada 24 Oktober lalu.

Pertandingan yang diwujudkan untuk mempromosikan seni pembuatan kopi oleh pasukan Barista Secret Recipe itu adalah sebahagian daripada inisiatif dalam membawa budaya kopi ke peringkat seterusnya untuk jenama tersebut.

Barista ialah individu yang membuat minuman kopi di sesebuah bar espresso bar atau cafe berasaskan kopi. Selalunya sebelum mendapat gelaran itu seseorang perlu melepasi ujian atau kemahiran yang ditetapkan oleh organisasi pekerjaannya.

Berlangsung di outlet Bangsar South, Kuala Lumpur, pertandingan itu menyaksikan sembilan barista beraksi di peringkat akhir selepas melalui beberapa persaingan di peringkat awal.

Dalam usaha menyediakan kopi yang terbaik dan menguasai kemahiran membuat kopi pada mesin espresso, Secret Recipe bekerjasama dengan pakar produk kopi Dankoff untuk penganjuran acara tersebut.

Pusingan kelayakan pertama merupakan senarai pendek daripada peserta terpilih dari 110 outlet Secret Recipe.

Wakil-wakil pertandingan melawat para barista di kedai-kedai mereka sebelum memilih 20 barista terbaik untuk beraksi di pusingan separuh akhir.

Mencari tiga finalis

Acara separuh akhir bermula pada 3 Oktober lalu dengan kesemua peserta diberi pendedahan mengenai pertandingan dan latihan intensif bagi menyempurnakan kemahiran membuat kopi oleh pakar kopi Dankoff.

Daripada 20 peserta, tiga calon yang menunjukkan kemahiran terbaik layak ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara Kejohanan Barista Secret Recipe 2011.

Sewaktu pusingan akhir, kesemua peserta dinilai sepenuhnya terutamanya dari aspek rasa, persembahan minuman dan kemahiran teknikal dalam mengendalikan mesin, kebersihan stesen dan pandangan keseluruhan.

Setiap peserta dikehendaki menyediakan tiga kategori minuman kopi untuk dinilai para juri iaitu espresso, cappucino dan hidangan kopi signatur asli dalam tempoh 15 minit.

Enam juri termasuk dua juri teknikal dan empat juri deria diketuai oleh juara dua kali Kejohanan Barista Malaysia, Cheryl Lee.

Turut menjadi juri dalam aksi final tersebut ialah wakil dari Dankoff dan Secret Recipe.

Kejohanan sulung itu akhirnya menobatkan Mustafa Marzuki dari outlet Pasar Seni sebagai juara sekali gus membawa pulang mesin kopi Oscar dan set pengisar espresso Grinta bernilai RM4,500.

Naib juara pula menjadi milik Muhammad Syafie Yendi dari outlet Secret Recipe Wisma MCA yang memenangi sebuah iPAD2 dan baucar membeli-belah. Muhammad Syafie turut merangkul anugerah Seni Kopi Terbaik. Tempat ketiga disandang oleh Nim Raj Mahara yang berpuas hati dengan hadiah berupa kamera digital Canon.

Selain dilengkapi dengan peralatan Itali yang terbaik dalam pembuatan kopi, semua cawangan Secret Recipe juga menggunakan kopi yang berkualiti tinggi diimport khas dari Mexico dalam memastikan pelanggan-pelanggan mendapat secawan kopi terbaik.

"Kami ingin menyedarkan orang ramai tentang keseronokan mudah untuk menikmati secawan kopi gourmet dan menjadikan Secret Recipe tempat untuk memulakan hari anda atau berehat selepas penat bekerja," kata Ketua Pegawai Eksekutif Secret Recipe, Datuk Steven Sim.

Sementara itu, Pengurus Latihan Barista Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn. Bhd., Pearl Ooi memberitahu, pertandingan sulung itu mampu menyuntik motivasi di samping menggilap bakat-bakat tersembunyi dalam kalangan barista mereka.

"Ia sejajar dengan misi terbaru syarikat dalam membawa budaya kopi di Secret Recipe ke peringkat tertinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: