Saturday, November 5, 2011

DERUAN LATA MERAUNG


KEINDAHAN Lata Meraung menjadikan ia santuari terbaik untuk pencinta alam mencari ketenangan.


APABILA menyebut nama Jerantut, pasti ramai yang membayangkan keindahan Taman Negara Kuala Tahan yang sekian lama menjadi ikon Pahang.

Bagaimanapun, tanpa disedari Jerantut juga mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh diterokai seperti Hutan Simpan Lembah Kiol.

Selain keindahan hutan hijaunya, bagi pencinta air terjun, apa kata berkunjung ke Lata Meraung yang popular dalam kalangan pengunjung hutan lipur itu.

Jauh daripada hiruk-pikuk kota, air terjun setinggi lima tingkat itu mempunyai keunikan semula jadinya yang tersendiri. Dengan kejernihan dan kesejukan air serta iringan bunyi cengkerik di hutan hujan tropika, ia pasti memberikan kepuasan kepada pengunjung.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Jerantut, kawasan hutan lipur itu mudah diakses dengan kenderaan berikutan sistem jalan rayanya yang baik.

Sepanjang perjalanan, pengunjung perlu melalui beberapa kampung termasuk perkampungan Orang Asli Sungai Kiol yang didiami komuniti suku Jahut. Panorama kebun getah di kiri dan kanan yang redup membuatkan perjalanan hampir 25 minit itu tidak begitu dirasai.

Pelbagai papan tanda menunjukkan arah ke Lata Meraung dan Lembah Kiol yang disediakan oleh Majlis Daerah Jerantut (MDJ) memudahkan pencarian.

Menurut ceritanya, perkataan lata adalah merujuk kepada kawasan air terjun, manakala perkataan meraung pula kerana deruan air yang jatuh ke permukaan kolam seolah-oleh bunyi orang sedang meraung.

Kekal semula jadi


AIR Terjun Lata Meraung masih terpelihara daripada pencemaran.


Sebaik tiba, pengunjung pasti terpesona melihat keindahan flora dan fauna di sekelilingnya yang masih terpelihara sejak ia dibuka kira-kira 20 tahun lalu.

Melihat air dingin yang mengalir deras dari puncak di celah-celah batu yang disusun indah seolah-olah menggamit kehadiran pengunjung. Anda boleh memilih untuk bermandi-manda dan berkelah berhampiran sungai yang mengalir di kawasan lapang yang disediakan. Jika mahu meneroka keindahan air terjunnya pula, pengunjung boleh menyusuri tebing melalui trek hutan yang disediakan.

Peluang menghayati suasana rimba diselang-seli bunyi unggas bersahut-sahutan membuatkan sesiapa sahaja tidak berasa rugi memilihnya sebagai destinasi bersantai dan berlibur.

Lebih-lebih lagi apabila melihat air terjun setinggi lima tingkat yang mengalir ganas dari puncaknya.

Bagi yang tidak mahu membasahkan diri, merendam kaki ke dalam kesejukan air di situ juga sudah cukup untuk melepaskan segala tekanan dan kerisauan di hati.

Jika berkhemah dan bermalam di tepi air terjun itu, anda turut berpeluang menikmati hiburan semula jadi daripada bunyi unggas, burung dan cengkerik yang kekal menghuni di hutan simpan itu.

Namun, anda diingatkan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selepas puas bermandi-manda dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan perut pasti berasa lapar. Bagaimanapun, harap maaf, tiada kemudahan gerai disediakan di kawasan berhampiran.

Pengunjung dinasihatkan membelinya sama ada di sekitar kampung-kampung berhampiran atau bandar Jerantut serta membawa bekalan sendiri dari rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: