Friday, November 4, 2011

Atilia tangguh kahwin ke tahun hadapan

Pernah menyatakan hasrat untuk melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini dengan kekasih hatinya, penyanyi popular Atilia bagaimanapun terpaksa melupakan impiannya dan menangguhkannya ke tahun hadapan.

Sibuk dengan program Idola Kecil musim keempat, Atilia yang bertindak sebagai penasihat kepada peserta mengakui masih belum membuat sebarang persiapan perkahwinan menyebabkan dia terpaksa menangguhkan dahulu hasratnya itu.

Biarpun enggan memberitahu nama kekasihnya, menurut Atilia perkahwinan itu akan berlangsung tahun hadapan.

“Sepatutnya saya berkahwin tahun ini, tapi tak sempat. Kami masih belum buat sebarang persiapan, jadi terpaksalah ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Saya tak kisah, kebetulan pula bulan Disember ini saya sibuk dengan pelbagai aktiviti jadi kami merancang untuk berkahwin tahun hadapan.

“Setakat ini masih belum ada tarikh yang tepat, tapi jika tiada aral yang melintang, majlis itu tetap akan berlangsung tahun depan,”jelas Atilia.

Selain sibuk menjadi penasihat untuk program realiti, Idola Kecil, Atilia juga sedang merencana sebuah program pelancongan untuk diterbitkan di Astro pada Januari ini.

“Saya bersama enam lagi rakan baik saya, Celepets, iaitu Serena Choong, Yasmin Hani, Sazzy Falak, Dynas, Aishah Sinclair dan Daphne Iking akan menjayakan sebuah program berbentuk travelogue.

“Ini rancangan pelancongan pertama yang saya terbitkan kerana sebelum ini saya banyak menerbitkan program-program berbentuk hiburan sahaja.

“Kami bertujuh akan pergi melawati tempat-tempat yang menarik di Malaysia. Penggambaran akan dimulakan Januari ini, dan kami semua sememangnya teruja untuk menjayakannya,”jelas Atilia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: