DARI kanan De Soras, Thompson dan Pengurus Besar Joint Venture Management Petronas Carigali, Mohamad Abdullah, bersama merasmikan majlis First Cut Of Steel For Tapis And Telok di MMHE Pasir Gudang, semalam.
MALAYSIA Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) meraih kontrak Pemulihan Minyak Dipertingkatkan (EOR) Tapis bernilai RM1.4 bilion daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI).
Perjanjian bagi kontrak itu dimeterai Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MMHE, Dominique de Soras dengan Presiden dan Pengerusi EMEPMI, Hugh Thompson di limbungan fabrikasi MMHE di Pasir Gudang, semalam.
EOR Tapis adalah projek pembangunan gas yang dilaksanakan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran Gas (GPSC) 2008 dengan EMEPMI sebagai operator dan PCSB sebagai peneroka bersama di kawasan kira-kira 200 kilometer dari pesisir pantai Semenanjung.
Ia antara pelaburan huluan utama diberikan penekanan oleh kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal menyaksikan EMEPMI dan PCSB melabur kira-kira RM10 bilion untuk membangunkan aset gas dan minyak sedia ada serta baru.
Thompson berkata, pihaknya sebelum ini turut memberikan kontrak RM165 juta kepada MMHE bagi pembinaan Tapis Q, iaitu platform dek bersepadu empat kaki lebih kecil bagi menghubungkan Tapis R dengan platform sedia ada Tapis B.
Katanya, satu lagi projek yang turut diberikan kepada MMHE sebelum ini ialah pembangunan gas Telok bernilai RM236 juta dengan gabungan kedua-dua projek mewujudkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya ketika waktu puncak aktiviti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: