Saturday, November 5, 2011

Makan Angin berlabuh di Kampung Jawa


PENULIS tidak ketinggalan mencuba tiga jenis masakan iaitu botok-botok, lemper dan ayam engkong.


SETELAH puas mengembara ke serata tempat termasuklah beberapa destinasi di Malaysia dan juga Indonesia, Makan Angin 2 kini ke lokasi terakhir musim ini iaitu di Segamat, Johor.

Dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Segamat mengambil masa selama dua jam sahaja. Kali ini, penginapan saya dan kru yang lain ditaja oleh Segamat Country Club. Indah sungguh pemandangan di sini.

Setelah bagasi dibawa masuk ke dalam bilik penginapan, tanpa berlengah saya dan kru bergegas untuk berjumpa dengan Sothir iaitu wakil di sana yang membawa kami mengenali orang Jawa di Kampung Jawa.

Tempat pertama yang dibawa beliau ialah sebuah rumah yang sedang riuh-rendah disebabkan rewang. Rewang sinonim seperti gotong-royong tetapi, lebih kepada memasak dan menghias.

Tradisi orang Johor melakukan rewang setiap kali adanya kenduri kendara berlangsung.


SEMPAT ke Sungai Segamat untuk memancing ikan baung.


Selepas sibuk merewang di dapur, sekarang bermula pula aktiviti memasak saya. Kali ini saya ke rumah Roz untuk belajar memasak botok-botok dan lemper.

Kedua-dua makanan itu sememangnya makanan khas orang Jawa. Untuk memasak botok-botok, ia memerlukan pelbagai jenis daun. Tetapi disebabkan terlalu banyak jenis daun, saya cuma ingat daun pisang sahaja! Akhir sekali botok-botok perlu direbus sebelum boleh dimakan.

Sementara menunggu botok-botok siap, saya mencuba untuk membuat lemper pula. Lemper seperti kuih pulut panggang, tetapi bukan dibakar sebaliknya direbus. Rasa masakan kedua-dua menu Orang Jawa itu ternyata sedap.


JIKA ke Kampung Jawa jangan lupa untuk mencuba nasi ambeng.


Walau hanya direbus, tetapi kemanisan dan keunikan menu itu tidak dapat disangkal lagi. Memang tidak rugi saya mencuba.

Pada hari berikutnya pula, kami masih ke Kampung Jawa. Namun kali ini, saya mencuba menu baru pula iaitu ayam engkong. Menu tersebut saya pelajari dengan Wak Paimo di rumahnya. Cabaran saya pada kali ini, saya ditugaskan untuk menangkap dan mencabut bulu-bulu ayam hinggalah bersih.

Setelah selesai berguru menyembelih ayam dengan Wak Paimo, saya berguru pula dengan isterinya yang lebih selesa dipanggil Mak Wagina.


BOTOK-BOTOK iaitu ikan tenggiri yang akan direbus dengan pelbagai jenis daun untuk menghasilkan rasa yang unik.


Dia mengajar saya bagaimana memasak ayam engkong itu. Ramuan menu tidaklah sesukar mana antaranya bawang merah besar, bawang besar, serai dan kelapa.

Selepas semua bahan dicampur gaulkan sebati, bahan-bahan tersebut dikisar dan dilumur pada badan ayam sepenuhnya. Setelah selesai semuanya, ayam diperap selama satu hingga ke dua jam sebelum dimasak.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dan bekerjasama dalam penggambaran Makan Angin musim 2 ini.

Terima Kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Bagi peminat Makan Angin kita bertemu esok, Jumaat dalam episod terakhir pada jam 8.30 malam menerusi saluran Di Hatiku TV9.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: