Saturday, November 5, 2011

Imbau nostalgia di Kota Bengawan

Solo atau dikenali sebagai Surakata sememangnya terkenal dengan nilai, tradisi dan budaya Jawa yang mendasari kehidupan sebahagian besar warganya sejak dahulu sehingga kini.


KEHALUSAN seni dan kraftangan masyarakat Solo sentiasa menggamit pesona.


MAHUKAN perjalanan santai yang memberikan pengalaman nostalgia? Kenapa tidak memilih kota Solo sebagai destinasi pilihan. Terletak di Jawa Tengah, Indonesia, Solo atau dikenali sebagai Surakarta sememangnya terkenal dengan nilai, tradisi dan budaya Jawa yang mendasari kehidupan sebahagian besar warganya sejak dahulu sehingga kini.

Selaku penuntut sarjana komunikasi di Universiti Jakarta di Indonesia, penulis akui begitu teruja setiap kali mendengar kisah dan keistimewaan Solo daripada teman-teman sekuliah.

Justeru, pelawaan seorang teman backpacker, Fajar untuk membawa penulis melihat sisi kota itu dengan lebih dekat pastinya disambut dengan tangan terbuka.

Penulis memulakan penjelajahan ke Solo dari Jakarta dengan menaiki kereta api Matarmaja kelas ekonomi.


MONUMEN unik Priyai Jawa tersergam di hadapan Pasar Triwindu.


Biarpun terpesona dibuai panorama indah desa sepanjang perjalanan, hati penulis turut tersentuh melihat kegigihan seorang wanita berusia mencari rezeki. Berpakaian khas Jawa dan kain batik lusuh, si ibu tekun mengendong anaknya sambil menawarkan makanan yang dijualnya kepada penumpang-penumpang, termasuk kepada penulis.

"Nak, nasi pecel, ayam telur, endok asin hangat, nak," pelawanya.

Tatkala penulis menghulurkan wang, si ibu pantas mengucap syukur: "Alhamdulilah, terima kasih Gusti Pangeran."

Jangan terkejut, ia merupakan suasana biasa yang sering dilalui penumpang sekiranya memilih menaiki kereta api kelas ekonomi. Pelbagai ragam manusia yang dilihat pastinya menjadi pelajaran hidup yang sangat bermakna kepada sesiapa sahaja.

Kunjungan ke Kraton


SUASANA di sekitar Pasar Klewer sentiasa sibuk dengan kehadiran orang ramai yang membeli-belah.


Bagaimanapun, keceriaan mula terhidang sebaik sahaja tiba di Solo. Seperti yang dijanjikan, Fajar setia menanti kehadiran penulis di stesen kereta api.

Dalam loghat Jawa yang pekat, Fajar teruja menceritakan kepelbagaian seni, budaya sejarah, kulinari dan segala keistimewaan yang terdapat di kota itu.

Kehadiran penarik beca, kereta kuda dan bas Trans Batik Solo yang siap sedia menunggu penumpang membuatkan penulis tidak sabar untuk memulakan penjelajahan.

Cuaca yang cerah membolehkan kami ke Pasar Triwindu atau pasar barang antik yang sudah wujud sejak tahun 1945.

Pelbagai barangan antik boleh ditemui daripada hiasan rumah kuno, lampu, topeng, lukisan malahan ratusan arca yang memberi kesan klasik, nostalgia dan antik kepada pencintanya.

Beberapa monumen unik memenuhi ruang laman di depannya seperti patung Priyai Jawa yang sedang duduk bersila, lesung penumbuk padi dan beberapa topeng Jawa yang turut memberi elemen klasik tempat itu. Katanya suasana siang di sini akan berubah dan bertambah hidup di kala malam.


PENULIS turut berkesempatan memberi makan kerbau 'keramat' Kyai Slamet.


Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang menyaksikan konsert kecil daripada pengamen (penyanyi keroncong) jalanan yang sememangnya berbakat besar.

Aroma nostalgia kota Solo seperti tidak akan lengkap tanpa berkunjung ke Kraton (istana) Surakarta Hadiningrat.

Bangunan itu menjadi nadi utama kebudayaan kota Solo dengan gabungan elemen Jawa dan Eropah yang masih kekal terpelihara. Melihat seni ukiran halus yang menghiasi segenap sudut Kraton membawa penulis seolah-olah kembali ke zaman kegemilangan kerajaan Melayu silam.

Kami turut diberitahu, bangunan itu merupakan kompleks pejabat satu ketika dahulu. Kini selepas dijadikan muzium, ia menempatkan sembilan ruang pameran yang memaparkan pelbagai pusaka peninggalan kraton seperti diodrama kesenian rakyat, upacara perkahwinan sehinggalah peralatan tradisional.

Seterusnya kami ke sebuah kompleks utama yang menempatkan istana dengan patung-patung Eropah. Di situ jugalah terletaknya sebuah menara tinggi dikenali sebagai Panggung Songgobuwo.

Satu tips yang ingin penulis kongsikan pembaca semua, jangan lupa menanggalkan kasut dan berpakaian tertib sekiranya melalui kawasan ini nanti.

Puas berjalan melihat kebudayaan seni warisan Solo, Fajar membawa penulis melawat ke Pasar Klewer.

Daripada makanan, pakaian, alat-alat kesenian dan kraftangan sehinggalah batik Solo yang sangat popular, semuanya boleh didapati pada harga yang murah.

Seni dan budaya Solo


PENGUNJUNG diingatkan menanggalkan kasut dan berpakaian tertib di sekitar Panggung Songgobuwo.


Kami kemudiannya meneruskan perjalanan, selepas melepaskan lelah di Masjid Agung Surakarta yang terletak berhampiran.

Kehadiran sekumpulan penduduk yang berpusu-pusu mendekati sekawan kerbau putih dikenali sebagai Kyai Slamet sambil memberi makanan kepadanya membuatkan penulis agak kebingungan.

"Kerbau ini dianggap keramat oleh masyarakat Solo dan selalu diarak menjelang malam satu syura," jawab Fajar apabila penulis melontar persoalan mengenainya.

Perjalanan kami diteruskan ke Ngarsopuro, iaitu sebuah kawasan yang meriah dengan aktiviti malam.

Terletak, berhampiran Keraton Mangkunegaran dan Pasar Triwindu kawasan itu dihiasi indah dengan laluan khas pejalan kaki beserta tempat duduk serta lampu neon berbentuk sangkar burung yang unik.

Di situ pengunjung boleh melihat pelbagai aksi anak muda yang bebas berekspresi menonjolkan bakat seni seperti menyanyi, membaca puisi, bermain muzik dan sebagainya.


PERTUNJUKKAN pentas dan seni budaya menghidupkan suasana malam di Solo.


Pada masa yang sama, jangan lupa menikmati lukisan seorang legenda muzik keroncong Bapak Gesang yang juga pencipta lagu Bengawan Solo yang memenuhi dinding tembok sepanjang jalanan.

Keinginan untuk melihat seni dan budaya Solo dengan lebih dekat membawa kami melihat persembahan wayang orang di Taman Sriwedari.

Selepas membayar tiket wayang sekitar Rp3,000 (RM1), kami dibawa melangkah ke sebuah bangunan lama yang dipenuhi elemen dan aura klasik di setiap sudutnya.

Fajar memberitahu, di situlah pelbagai aktiviti seni dan budaya dijalankan saban minggu. Biarpun bangunan itu sudah agak berusia, namun ia tetap memberi keselesaan kepada penonton serta dilengkapi sistem penghawa dingin.

Alunan gendang Jawa gemersik dan mengasyikkan tiba-tiba mengejutkan penulis. Ternyata, persembahan wayang orang yang ditunggu-tunggu sudah bermula.

Satu-persatu watak mulai berada di atas panggung dengan loghat bahasa Jawa halus yang sukar difahami penulis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: