Wednesday, November 16, 2011

Hui Lin abdikan diri untuk penyelidikan


DR. Ong Hui Lin sentiasa peka dengan bidang teknologi nano yang diselidikinya.


MASA yang diambil untuk menghasilkan satu-satu kajian bukannya sekejap. ada kajian yang mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan keputusan yang betul-betul tepat.

Begitupun, bagi para saintis yang terlibat dalam bidang penyelidikan mahupun kajian, masa yang lama sebelum sesuatu hasil diperolehi bukan sesuatu yang membebankan.

Malah mereka tetap komited menghasilkan kajian demi kajian termasuk yang bermutu agar dapat dimanfaatkan kepada semua.

Bagi Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Ong Hui Lin, kerja-kerja penyelidikan mahupun kajian merupakan sebahagian daripada kehidupan hariannya.

Setiap hari Hui Lin pasti akan mengadap pelbagai bakan penyelidikan. Semua yang dilakukan itu hanya dengan satu matlamat, iaitu untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

Malah sajak lima tahun lalu, Hui Lin terlibat dalam penyelidikan polimer base nano composite yang memberi tumpuan kepada penggunaan plastik daripada polipropilena kerana ia senang diproses dan murah.

Ketika ditemui di pejabatnya di UniMAP baru-baru ini, Hui Lin menjelaskan, penyelidikan yang dilakukan memberi tumpuan kepada sektor automotif, lebih kepada aplikasinya dan ia khusus untuk kereta.

Daripada kajian yang dilakukan itu didapati bahan yang dihasilkan itu mampu menjimatkan minyak kenderaan kerana ia lebih ringan.

"Dalam penyelidikan ini, saya hanya menggunakan satu hingga lima peratus sahaja nano. Ia dicampur dengan bahan-bahan seperti polipropilena dan plastik.

"Pada masa kini, teknologi nano memainkan peranan penting dalam aplikasi automatif.

"Hasil campuran bahan-bahan tersebut, ia bukan sahaja dilihat mampu meringankan kenderaan malah untuk apa jua objek," ujar anak kelahiran Pontian Kecil, Johor itu.

Apa yang menjadikannya memilih untuk menjalankan kajian tersebut?

Katanya, ia didorong oleh kecenderungan yang lebih terarah kepada menghasilkan objek yang ringan.

Katanya, penggunaan teknologi tersebut akan diperluaskan ke semua peringkat agar ia dapat memberi manfaat kepada semua.

Ulasnya lagi, fokus projeknya bukan hanya tertumpu pada bahagian automotif.

Malah ia juga boleh digunakan untuk pelbagai sektor seperti pembungkusan makanan dan untuk peralatan elektrik.

Kini Dr. Hui Lin berusaha memperluaskan lagi skop kajian demi mendapatkan keputusan yang lebih baik.

Malah beliau berharap daripada keputusan yang bakal diperolehi dapat dipasarkan untuk kegunaan ramai.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah UniMAP sememangnya gemar melakukan penyelidikan yang berkaitan dengan teknologi nano.

Menurutnya teknologi tersebut merupakan bidang kemahirannya jika dibanding dengan bidang-bidang yang lain.

Dalam pada itu, penyelidikan tersebut telah membawa tuah kepada Dr. Hui Lin apabila beliau telah diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Nasional Fellowship untuk Wanita dan Sains (FWIS) 2011, 10 November lalu.

Anugerah tersebut diberikan kepada saintis wanita negara yang berkelayakan bagi menggalakkan pembabitan mereka dalam dunia penyelidikan sains.

Ia bertujuan menggalakkan wanita muda yang berumur antara 25 hingga 35 tahun menceburi kerjaya sains dan menjalankan kajian bagi menghasilkan apa sahaja produk atau teknologi. Tetapi syaratnya ia mesti memberi faedah kepada umum.

Selain itu, ia turut bertujuan mencungkil bakat wanita muda dalam mencipta teknologi berkaitan sains, menyediakan bantuan kewangan kepada peserta dan menggalakkan penyertaan.

Menerusi penganugerahan tersebut, Dr. Hui Lin menerima geran bernilai RM20,000 untuk kerja-kerja penyelidikan dalam bidang sains di universiti tempatan selama setahun.

Ternyata keputusan tersebut mengejutkan beliau kerana tidak menyangka, apatah lagi meletakkan harapan akan dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut memandangkan proposal kajian yang dihantar hanya sekadar mencuba nasib.

Ditanya lebih lanjut mengenai geran yang diterima, menurut Dr. Hui Lin, dia akan menjalankan kajian berkaitan kedayatahanan polipropilena berasaskan komposit nano dari segi jangka panjang (perubahan dan kebolehupayaan).

Apapun, ini bukanlah anugerah pertama yang diterimanya. Sebelum ini beliau pernah menerima anugerah pada Ekspo Teknologi Malaysia 2010 dan juga Pertandingan Inovasi Geneva 2011.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi pertama diterimanya secara individu.

Selain anugerah, beliau amat berharap apa yang dilakukannya itu dapat membantu negara.

Beliau juga amat bersyukur kerana pihak kerajaan banyak memberi peluang kepadanya sehingga mencapai tahap sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: