![]() |
| Nabella dengan fesyen rekaannya. |
KESUNGGUHAN dan usaha yang ditunjukkan oleh sekumpulan anak muda ini dalam bidang fesyen berjaya membuktikan keupayaan masing-masing.
Ditambah pula dengan semangat yang jitu, mereka bukan sahaja berjaya mengembangkan bakat sedia ada. Malah hari ini nama mereka semakin meniti di kalangan peminat-peminat fesyen tanah air melalui rekaan dihasilkan.
Dilihat sebagai generasi muda yang bakal menyambung legasi pereka-pereka yang sedia ada hari ini, mereka juga merupakan pereka fesyen yang bernaung di bawah Persatuan Pereka Bumiputera (BDA)
Bakal mempamerkan koleksi masing-masing di pentas peragaan sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) di Kuala Lumpur pada 22 November ini, ia dilihat memberi peluang kepada mereka sebagai pereka muda berkongsi ilham kreatif.
Acara fesyen yang berlangsung selama sehari itu akan mementaskan rekaan 50 pereka daripada BDA.
Setiap peserta secara puratanya akan mempamerkan enam rekaan fesyen dan ia merupakan cabaran hebat bagi setiap pereka untuk mempamerkan rekaan yang berbakat dan versatil.
Bagi Tengku Nadia Azrina Tengku Amran, 32, (Saku); Azura Mazaruddin, 26, (Azura Couture); Adriatie Syaminnissa Ahmad Fuad, 33, (Zattera Apparel); Nurulhuda Khairuddin, 31, (Pretty Lulu) dan Nabella erwani Zainal Abidin, 27, (Belle La Belle), masing-masing tidak sabar untuk mempamerkan rekaan masing-masing.
Apa yang mereka harapkan daripada minggu fesyen tersebut agar ia dapat mengukuhkan lagi jenama masing-masing di persada fesyen tanah air.
Bagi Tengku Nadia Azrina, jenama Saku yang dibawanya merupakan percubaan pertama di pentas peragaan MIFW.
Begitupun, beliau yang mesra disapa Nadia begitu teruja untuk mempamerkan koleksi istimewa beg tangan hasil rekaannya kepada umum.
Mengetengahkan koleksi yang bersejarah, Nadia pastinya menampilkan ukiran unik yang diperoleh daripada Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Bakal bergandingan dengan Noni Reynders, Nadia akan mengambil bahagian pada acara Hi-Tea dan juga Malam Gala.
Berlainan pula dengan Azura, walaupun penglibatannya dalam dunia fesyen sudah lama tetapi dia tetap gemuruh kerana sudah dua tahun menyepikan diri kerana memberi tumpuan kepada butiknya. Malah pereka yang begitu meminati warna kuning ini akan memastikan penampilannya kali ini istimewa.
Adriatie yang mewakili Zattera Apparel bukanlah satu jenama baru dalam bidang fesyen. Ini kerana walaupun baru pertama kali terlibat dengan MIFW, Zattera Apparel terlebih dahulu telah mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan.
Bakal mengetengahkan enam koleksi makan malam pada acara Hi-Tea, Zattera Apparel juga merupakan jenama yang turut menawarkan pakaian sedia dipakai.
Dalam pada itu, Pretty Lulu, jenama beg tangan yang bakal bergandingan dengan Nazreen Idris dan juga Fitri Zainal pastinya tidak ketinggalan menampilkan koleksi eksklusifnya.
Dihasilkan semata-mata untuk MIFW, ujar pemiliknya, Nurulhuda, untuk Nazreen, dia akan mengetengahkan koleksi perkahwinan berwarna putih yang terdiri daripada aksesori kepala dan juga beg tangan, manakala untuk Fitri pula aksesori seperti rantai, gelang tangan, subang dan juga kepala akan diberi sentuhan songket.
Seorang lagi pereka yang akan mengambil bahagian sempena MIFW ialah Nabella. Tahun ketiga mengambil bahagian dalam MIFW, Nabella yang menggunakan jenama Bella La Bella akan tampil dengan busana muslimah.
Kesemua rekaannya yang merupakan koleksi sedia dipakai membawakan tema 'Bebow' dengan menggunakan fabrik seperti t-shirt dan juga lycra.
Senang dan cantik digayakan bagi mereka yang bertudung, koleksi Bella La Bella didatangkan dengan pelbagai koleksi warna yang sesuai dipakai pada bila-bila masa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: