
DARI udara kelihatan kelopak-kelopak sawah menghijau bergenang air. Bangunan-bangunan usang turut menghiasi pemandangan dari atas. Fikiran mula membayangkan cerita-cerita kesusahan penduduk Kemboja yang sangat menyayat hati.
Pesawat AirAsia yang kami naiki mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja dengan tenang.
Alhamdulillah, hasil kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) seramai 40 delegasi membawa bantuan seperti makanan, pakaian dan juga naskah-naskah muqaddam untuk diedarkan kepada yang memerlukan di Kemboja.
Melalui sedikit sumber bacaan, terdapat masyarakat Melayu yang dikenali sebagai Champa di Kemboja. Mereka berasal dari tengah dan selatan Vietnam membentuk Kerajaan Champa Tua yang kuat. Agama Islam datang seawal zaman pemerintahan Saidina Uthman Ibn Affan, khalifah yang ketiga apabila beliau menghantar utusan ke negeri China dan singgah di Vietnam. Islam mula berkembang pada kurun ke-11 di bawah Dinasti Tang (618-907).
Jumlah umat Islam dianggarkan seramai 200,000 orang pada tahun 1975. Bagaimanapun malapetaka pada zaman pemerintahan Parti Komunis Kemboja di bawah pimpinan Pol Pot dari tahun 1975 hingga 1979 meninggalkan kesan yang mendalam terhadap umat Islam. Para guru, ilmuwan dan cendekiawan dibunuh.
Sejumlah 132 masjid diroboh atau dijadikan kandang babi. Kitab al-Quran dirampas dan dibakar. Pada 23 Februari 1974 nelayan Islam Champa berdemontrasi beramai-ramai membantah sikap kuku besi rejim. Akibatnya, kira-kira 100 nelayan ditembak mati di tebing sungai Kampong Cham.
Pol Pot dengan rakusnya melakukan pembersihan etnik. Dia hanya mahu kaum Khmer tinggal di Kemboja. Pembangunan, kemajuan dan orang terpelajar termasuk alim ulama dihapuskan.
Perjalanan dari lapangan terbang ke sebuah sekolah di bawah kelolaan Pertubuhan Intelektual Muslim Negara Kemboja (CMIA) dihiasi pemandangan yang sangat sederhana.
Sekolah yang memuatkan hampir 100 murid itu kelihatan ala kadar untuk pendidikan awal kanak-kanak bagi mengelakkan mereka tercicir dalam bidang pendidikan.
Kegigihan para ibu bapa menghantar anak mereka dapat dirasa tatkala tiba waktu pulang. Kepuasan melihat tahap pendidikan yang semakin bertambah dirasai apabila melihat anak menadah tangan berdoa beramai-ramai sebelum pulang.
Suasana sambutan Aidiladha sama seperti di Malaysia. Masyarakat Muslim berpusu-pusu menuju ke masjid untuk menunaikan solat. Bezanya cuma keadaan masjid mereka yang agak uzur menyambut delegasi kami pada waktu itu untuk sama-sama bertakbir.
Selesai menunaikan solat, kami menuju ke Kampung Chrow Meatry, salah sebuah kampung di kawasan pedalaman Kemboja. Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam ke kampung tersebut sangat menyentuh hati bila melihat kedaifan penduduk di pinggir jalan.
Rata-rata rumah mereka bertiang tinggi yang membolehkan kawasan bawah rumah dijadikan kandang lembu.
Ditambah lagi dengan persekitaran yang tidak terurus dan bau najis yang menusuk hidung membuatkan suasana hari raya tidak langsung dirasai oleh penduduk kampung. Kehadiran kami pagi itu dirasakan sangat bermakna buat penduduk kampung.
Pengagihan daging korban dan juga beras kepada penduduk kampung dilakukan dengan teratur. Makanan ringan juga disediakan untuk diedarkan kepada kanak-kanak.
Setelah sesi penyerahan agihan dan juga beramah mesra bersama orang kampung kami bertolak meninggalkan kampung tersebut untuk ke destinasi seterusnya.
Kampung Thom destinasi seterusnya. Kawasan masjid yang dahulunya terdapat sebuah pondok usang untuk pengajian kanak-kanak kini telah berubah. Ia hasil sumbangan rakyat Malaysia yang sangat prihatin. GPM berjaya menyediakan sebuah bangunan tiga kelas untuk kemudahan pendidikan.
Dengan adanya kelas-kelas tersebut dapat menarik minat kanak-kanak penduduk kampung untuk belajar.
Tinjauan kami pada hari tersebut tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Suasana kelas yang selesa tetapi para pelajar terpaksa duduk bersesak-sesak samata-mata untuk mendapatkan ilmu.
Difahamkan guru-guru juga pendapatannya bergantung kepada duit zakat padi di kampung tersebut. Lebih menyedihkan, hujan lebat dan banjir yang menyebabkan tanaman padi rosak sekali gus menjadikan guru-guru tersebut kehilangan punca pendapatan.
Para delegasi kemudiannya membuat kutipan derma kilat bagi menampung gaji guru-guru tersebut.
Alhamdulillah, tanpa disangka hasilnya cukup bagi menampung kesemua gaji empat guru di situ.
Senyuman mereka pada hari yang mulia itu sangat memberi makna untuk meneruskan misi perjuangan pendidikan kepada anak bangsa.
Seperti di kampung sebelumnya kami menyerahkan sumbangan beras, daging korban dan juga naskhah-naskhah muqaddam untuk para pelajar di kampung tersebut.
Sempena Hari Raya Korban baru-baru ini, sebanyak 143 ekor lembu dan 11 ekor kambing telah disembelih untuk diedarkan di 83 kampung di 14 wilayah dalam Kemboja.
Selain itu, sebanyak 1,150 keluarga menerima sumbangan beras bersama 1,000 naskah muqaddam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: