bomba

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – Lebih 30 anggota ‘Fire Squad’ ataupun sukarelawan bomba dari Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) menjalani latihan menghadapi banjir bersama anggota Balai Bomba Bandar Jengka, baru-baru ini.

Latihan yang diadakan di PPPTR itu bertujuan mendedahkan kepada sukarelawan mengenai persiapan serta langkah keselamatan sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka.

Pemangku Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Roslan Abu Talib berkata, anggotanya kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir di daerah ini berikutan keadaan cuaca kini tidak menentu.

“Di samping itu, kita turut mengadakan latihan menghadapi banjir bersama sukarelawan sebagai persiapan.

“Latihan meliputi persediaan menghadapi banjir dan pelbagai langkah keselamatan supaya mereka dapat membuat persediaan untuk diri sendiri serta membantu masyarakat,” katanya.

Roslan berkata, sukarelawan turut diberi latihan untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir supaya mereka dapat memberikan sumbangan sekiranya ia berlaku kelak.

“Ia juga sebagai tanggungjawab sosial sukarelawan kepada masyarakat dalam usaha membantu membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan terutama banjir.

“Budaya kesukarelawan ini yang mahu kita terapkan untuk meningkatkan keselamatan sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan mereka,” katanya.