HALAL

KUALA TERENGGANU – Pengusaha produk berasaskan makanan, kosmetik dan farmaseutikal di negeri ini dilihat mempunyai potensi besar untuk melangkah ke pasa-ran antarabangsa berdasarkan permintaan global ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, setakat ini pasaran produk itu sudah diterima di dalam negara.

Menurutnya, kerajaan kini berusaha mengangkat produk keluaran usahawan tempatan menembusi pasa-ran antarabangsa melalui pelbagai program serta bantuan yang disediakan dari masa ke masa terutamanya melibatkan tiga produk terbabit.

“Bagaimanapun untuk pasaran luar negara, produk ini perlu diubahsuai mengikut cita rasa dan kehendak pengguna.

“Kita menyarankan usahawan terbabit dapat meningkatkan mutu piawaian produk mereka terutamanya dalam aspek kebersihan serta mempunyai sijil halal daripada pihak yang diiktiraf bertujuan memenuhi standard antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal Malaysia di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Azmi Razik; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim dan Pengarah Urusan Strategik, Jabatan Standard Malaysia, Rafik Bakri Zakaria.

Pada majlis itu, seramai 150 peserta terpilih berpeluang mengikuti seminar dan bengkel diadakan selama dua hari bermula semalam.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan turut merancang mengeluarkan lima produk baru setiap tahun sebagaimana yang disarankan pihak SME Corporation dalam usaha meningkatkan pendapatan dalam kalangan masyarakat setempat seterusnya dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan lebih baik.

“Sehingga ini kita berjaya memberi latihan dalam bidang usahawan kepada lebih 5,000 peserta di mana 3,000 daripadanya mengikuti pelbagai kursus keusahawanan di negeri ini.

“Namun daripada jumlah itu hanya 10 peratus berjaya mengenengahkan produk masing-masing dan kerajaan akan sentiasa memberi dorongan serta bantuan terutamanya dalam bentuk insentif bantuan kewangan, bimbingan dan peluang pasaran kepada mereka yang berminat,” katanya.

Pada majlis itu juga, Mohamed kemudiannya menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada QSR Brands (M) Berhad sebanyak RM46,389 dan KFC Holdings (Malaysia) Berhad berjumlah RM39,962 kepada Pegawai Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Nazli Ngah.