premis degil

SUBANG JAYA - Mengejar keuntungan lebih RM3,000 setiap hari, tiga pengusaha pusat siber haram di USJ 21, di sini sanggup membelakangkan arahan pihak berkuasa meskipun premis sudah beberapa kali diserbu dan dikenakan tindakan.

Difahamkan, sambutan menggalakkan diterima daripada kaki judi menjadi pendorong pengusaha terus beroperasi, namun perniagaan mereka lumpuh selepas diserbu tiga pihak berkuasa petang, semalam.

Dalam Operasi Bersepadu diketuai Pengarah Jabatan Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ahmad Hassan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya itu, 10 pengunjung ditahan termasuk dua penjaga premis.

Ahmad berkata, premis dikawal kamera litar tertutup (CCTV) bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa itu menjadi tumpuan pekerja kilang mempertaruhkan wang berikutan terletak bersebelahan­ kedai nombor ramalan.

“Pengusaha menggunakan cermin gelap selain turut menawarkan perkhidmatan melayari internet bagi mengaburi mata pihak berkuasa bahawa mereka menjalankan perniagaan sah.

“Bagaimanapun tanpa lesen sah perniagaan, mereka turut menawarkan perjudian online antarabangsa dan pertaruhan menggunakan mesin slot kuda,” katanya ketika ditemui pada operasi yang disertai 38 anggota pihak berkuasa.

Beliau berkata, premis dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan menggunakan papan tanda pusat siber bagi mengaburi mata orang awam dan pihak berkuasa.

“Sebanyak 75 set peralatan komputer disita MPSJ manakala 33 lagi dirampas pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Premis dikenakan tindakan­ penutupan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ dan boleh dikenakan tindakan denda maksimum sebanyak RM 1,000,” katanya.

Beliau berkata, setiap pengusaha turut berdepan tindakan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.