|
|
KEMAMPUANNYA sebagai seorang aktres sememangnya sudah diuji dengan pelbagai karakter yang dibawanya dalam drama tempatan.
Malah, selama sedekad dalam industri, memang tidak dinafikan Emelda Rosmila merupakan salah seorang aktres yang berada dalam kelas tersendiri.
Namun, Emelda mengakui dia belum puas dengan pencapaiannya sebagai seorang pelakon. Lalu dia kini mencari peluang dan ruang baru untuk terus memantapkan lagi lakonannya.
Atas alasan itu jugalah, wanita berusia 31 tahun itu menerima tawaran untuk membintangi pementasan teater Badai Semalam yang akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 11 November ini.
Ternyata nada suaranya cukup teruja diajak berbicara tentang teater yang diadaptasi daripada karya agung Khadijah Hashim itu.
Cerita Emelda atau mesra disapa sebagai Mel, tawaran untuk Badai Semalam hadir kepadanya selepas namanya dicadangkan oleh salah seorang pelakon dan penerbit bersama teater itu, Datin Umie Aida.
"Kemudiannya, pihak IB menghubungi saya dan memberitahu saya tentang Badai Semalam. Tanpa berfikir panjang, saya terus menerimanya kerana merasakan ini merupakan peluang terbaik untuk saya mencuba cabang baru.
"Apatah lagi sudah 10 tahun dalam industri dan terikat dengan lakonan untuk televisyen, saya fikir saya harus mencari perubahan untuk diri saya sebagai seorang aktres," katanya dalam nada optimis sewaktu dihubungi Hits, baru-baru ini.
Selain Emelda, teater arahan Khairunazwan Rodzi itu turut menampilkan nama-nama besar industri hiburan tempatan iaitu Erra Fazira yang memegang watak sebagai Mazni, Aaron Aziz (Karim), Umie Aida (Rohana), Fizz Fairuz (Zaki), Ziela Jalil (Bibah) dan Iqbal Taufik (Haris).
Jika disingkap lembaran diari seni Emelda, sebetulnya Badai Semalam bukanlah pementasan teater yang pertama untuknya.
Sebelum ini, adik ipar kepada pengacara dan pelakon, AC Mizal itu pernah membintangi pementasan P. Ramlee the Musical musim kedua dengan memegang watak sebagai Azizah pada tahun 2008.
Untuk itu katanya, ia sedikit sebanyak dapat membantunya untuk tampil lebih yakin dan bersemangat di atas pentas sepanjang hampir dua minggu Badai Semalam dipentaskan nanti.
Jelas pelakon yang cukup popular dengan drama lipur lara, Manjalara ini lagi, dia perlu berdepan dengan cabaran yang bukan calang-calang dalam menghidupkan watak Mahani untuk pementasan ini.
"Kebanyakan watak yang saya terima sebelum ini jurang umurnya tidak banyak beza atau hampir sama dengan usia saya yang sebenar.
"Tetapi, untuk Badai Semalam ini, ia cukup mencabar diri saya kerana saya perlu membawakan watak wanita berusia 40 tahun.
"Lebih membuatkan saya untuk memberikan yang terbaik untuk teater ini ialah apabila ia merupakan watak antagonis yang pada saya karakternya cukup dengan masyarakat kita hari ini," jelas Emelda.
Kata isteri kepada Adlin Aman Ramli itu lagi, Mahani merupakan seorang wanita yang mempunyai perasaan iri hati, cemburu dan dengki terhadap Mazni.
Kebencian Mahani terus meluap-luap selepas mendapat tahu Mazni berkahwin dengan Karim kerana sepatutnya dia mahu mengahwinkan anaknya bersama Karim.
"Apabila impiannya itu berkecai, maka, Mahani pun mula menabur fitnah dan memburuk-burukkan Mazni sehingga ibu Karim, Rohana semakin membencinya.
"Walaupun babak Mahani tidak banyak iaitu hanya sekitar empat hingga lima adegan sahaja, itu bukan alasan buat saya untuk tidak memberikan yang terbaik.
"Saya mahu memastikan Mahani mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton kelak kerana jika itu berjaya, ia akan memberikan kepuasan buat saya sebagai seorang aktres," jelas Emelda yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Tihany.
Pada masa yang sama, pemilik nama penuh Emelda Rosmila Abd. Hamid itu juga memberitahu suaminya banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan dari segi teknik lakonan serta penghayatan.
Teater yang diterbitkan bersama Frensis Sdn. Bhd., ini juga telah memilih Kumpulan Utusan sebagai media rasmi serta stesen radio nombor satu negara, Sinar FM sebagai stesen rasmi dalam mempromosikan Badai Semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: