TIADA siapa pernah menyangka gadis genit ini mampu mencipta kejayaan luar biasa dalam sekelip mata. Kalau ada yang mengatakan dia menumpang populariti tokoh terunggul dalam industri hiburan untuk meledakkan namanya, rasanya perkara itu tidak benar sama sekali.
Kejayaan Charmaine Clarice Relucio Pempengco atau lebih dikenali dengan nama pentas, Charice sebenarnya terletak pada bakat besar yang dimilikinya itu.
Jika tidak, Oprah Winfrey tidak akan sewenang-wenangnya menggelarkan Charice sebagai gadis paling berbakat di dunia sewaktu Charice dijemput menyanyi dalam rancangannya.
Malah, kalau Charice dikatakan tidak berbakat seperti mana yang didakwa segelintir pihak, mana mungkin tokoh muzik tersohor dunia, David Foster sanggup meminjamkan magisnya untuk penyanyi kecil molek itu.
Namun bagi Charice, dia tidak pernah menganggap segala kejayaan yang dimilikinya hari ini adalah satu tiket untuk merubah hidup dan dirinya sendiri secara total.
"Pertama sekali, saya benar-benar bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada saya selama ini. Hakikatnya, untuk mencipta nama di persada antarabangsa bukan satu tugas mudah terutama untuk orang Asia.
"Tetapi, saya tetap dengan pendirian saya untuk kekal dengan identiti Asia saya. Mengapa? Kerana saya bangga dengan latar belakang dan negara kelahiran saya. Buat apa perlu saya tunduk dan mengikut kemahuan orang Barat yang mahu mengubah saya menjadi mereka.
"Sepanjang saya di Amerika Syarikat, saya berpegang teguh kepada asal-usul saya. Itu jugalah yang saya katakan kepada mereka jika mereka mahukan saya untuk berada dalam industri mereka.
"Ternyata mereka menerimanya dengan penuh terbuka dan hasilnya adalah apa yang anda semua lihat hari ini," jelas Charice yang cukup peramah itu dalam satu pertemuan singkat di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kehadiran Charice ke negara ini adalah bersempena dengan Konsert Hitman: David Foster & Friends Live In Asia Tour 2011 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hanya kisah kerjaya
Menyambung bicara, Charice yang dilahirkan pada 10 Mei 1992 itu memberitahu untuk mencipta nama sebagai seorang artis memerlukan dirinya berkorban dalam banyak aspek.
Ini termasuklah apabila segelintir pihak media yang lebih mahu menggembar-gemburkan kisah peribadinya berbanding kerjayanya.
Bagi Charice, sebagai artis, ada perkara yang boleh dikongsi dengan masyarakat dan sebahagian lagi adalah untuk dirinya sendiri.
"Saya sedar ada yang cuba bertanya tentang cinta dan kisah keluarga saya. Tetapi, saya akan menolaknya dengan cara yang baik kerana saya juga tidak mahu diterima atas dasar kasihan hanya kerana saya dibesarkan sendirian oleh ibu saya.
"Saya mahu khalayak menilai diri saya menerusi bakat dan muzik yang saya persembahkan. Saya harus akui setakat ini semuanya berjalan dengan lancar apabila bakat saya lebih dipandang berbanding cerita lain.
"Apa yang saya harapkan agar ia akan terus berkekalan begitu kerana perjalanan seni saya bukan untuk hari ini dan esok sahaja tetapi untuk jangka masa yang panjang," jelasnya yang pernah menyertai ratusan pertandingan nyanyian di Filipina semata-mata mahu mengejar impian untuk menjadi seorang penyanyi.
Sudah menjadi lumrah, di sebalik kehebatan seorang penyanyi yang berjaya, mereka perlu menempuh kepayahan dan kesedihan sebelum mendaki puncak kejayaan.
Anak kelahiran Laguna, Filipina ini juga tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan situasi yang sungguh menyulitkan itu.
Tanpa selindung, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Pyramid dan Note To God ini memberitahu kegemilangan yang dimilikinya hari ini adalah kesedihan masa silamnya.
Cita-cita
Dalam erti kata lain, kisah hidup Charice boleh diumpamakan seperti kisah dongeng Cinderella yang berakhir dengan kegembiraan.
"Saya tahu dan faham bagaimana perasaan seseorang itu yang dihina, dicaci dan dibenci oleh masyarakat hanya kerana latar belakang kita tidak sempurna di mata mereka.
"Bukan itu sahaja, pernah juga saya disingkirkan dalam sebuah pertandingan nyanyian di Filipina yang konsepnya mirip American Idol hanya kerana saya tidak mempunyai pakej lengkap.
"Saya percaya setiap apa yang dilalui oleh kita semuanya ditentukan oleh Tuhan. Saya bekerja keras untuk mencapai tahap ini dan ya, saya akui semuanya juga berkat sokongan serta bantuan ramai pihak.
"Atas alasan itu, saya mahu memberi semula kepada masyarakat terutama remaja yang senasib dengan saya untuk mengejar impian mereka sebagai seorang penghibur," jelas Charice yang pernah melahirkan sebuah album studio dan dua album mini sebelum bergelar penyanyi profesional.
Apa yang diluahkan oleh Charice itu merupakan salah satu impiannya di masa depan yakni untuk membantu anak-anak muda berbakat besar dalam merealisasikan cita-cita mereka.
Malah, Charice juga sudah membayangkan bahawa dia akan mempunyai sebuah syarikat rakaman dan studio sendiri bagi memastikan impiannya itu tercapai.
Tetapi, apa yang mengejutkan pihak media sewaktu sesi temu ramah itu apabila Charice memberitahu dia tidak mahu menjadi penyanyi untuk selama-lamanya.
Walaupun bidang nyanyian sudah menjadi minatnya sejak kecil, tetapi Charice mahu mempunyai pekerjaan tetap yang dapat menampung kehidupannya ketika di masa hadapan.
"Saya memang bercita-cita juga mahu menjadi seorang peguam dan ia tidak pernah padam sehingga ke hari ini. Saya mahu memiliki firma guaman saya sendiri.
"Saya akan memastikan mendapat keputusan cemerlang dalam bidang undang-undang apabila saya menyambung pengajian nanti," katanya dalam nada bersungguh.
Cinta pada lakonan
Dek kehebatan bakat luar biasanya itu, Charice pernah membintangi siri komedi popular, Glee dalam musim kedua tahun lalu.
Membawakan watak Sunshine Corazon, Charice telah meninggalkan impak yang bukan kecil dalam siri itu sehingga dia sendiri tidak menolak peluang seandainya ditawarkan berlakon dalam musim ketiga.
"Berlakon dalam siri Glee memang menyeronokkan dan saya sukakan semua pelakonnya terutama Lea Michele. Dia sendiri banyak mengajar saya tentang dunia seni dan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjaya dalam bidang ini.
"Dalam masa yang sama, saya juga baru menjalani penggambaran filem Here Comes The Boom di samping Salma Hayek dan Kevin James. Watak saya sebagai seorang pelajar dan turut menyanyi dalam filem itu.
"Kalau saya terus diberikan peluang berlakon, saya akan menerimanya tetapi wataknya juga perlu sesuai dengan saya. Walau bagaimanapun, cinta pertama saya tetap nyanyian," katanya optimis.
Matang
Selepas setahun menggegarkan pentas muzik antarabangsa dengan album sulungnya, Charice, kini penyanyi bersuara mantap itu kembali dengan buah tangan terbarunya.
Diberi judul Infinity, Charice menyifatkan album keduanya itu adalah lambang kematangannya sebagai seorang penghibur.
Berbanding dengan album pertama yang lebih bersifat pop, kali ini kata Charice, dia berpeluang bekerjasama dengan penyanyi merangkap komposer ternama seperti Bruno Mars, JoJo, Nick Jonas dan Natasha Bedingfield.
"Album kali ini memang berbeza dari segi muziknya apabila hampir kesemua lagu-lagunya adalah berentak rancak dan R&B. Itu adalah transisi saya dalam bidang ini.
"Bukannya mahu lari dari genre pop dan lagu-lagu berentak nada tinggi tetapi, semakin saya dewasa, saya juga mahu mencari kelainan. Atas alasan itu jugalah, saya memilih R&B sebagai pertaruhan saya selepas ini.
"Lagu-lagu balada itu tetap ada dan akan menjadi identiti saya tetapi saya perlu mengurangkannya demi menjaga suara saya ini. Susah juga saya nanti kalau ia rosak kerana asyik menyanyi lagu-lagu bernada tinggi," katanya berseloroh.
Album Infinity yang akan dipasarkan pada 25 November ini memuatkan 11 buah lagu dengan Louder sebagai single pertama. Lagu-lagu lain termasuklah Before It Explodes, Lesson For Life, Never Always, One Day dan Far As The Sky.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: