|
|
MEMANG benar seperti apa yang dikatakan sebelum ini. Pasaran muzik tempatan hakikatnya sukar diramal kerana trend muzik yang sentiasa berubah-rubah.
Harus diakui, tiga tahun kebelakangan ini pasaran muzik semasa telah didominasi oleh muzik indie sehingga menenggelamkan genre yang sedia ada.
Tidak keterlaluan dikatakan, kini senario itu sudah berubah apabila lagu-lagu berentak balada kini menjadi perhatian pencinta muzik tempatan.
Semuanya dapat dibuktikan pada majlis pengumuman 30 buah lagu yang layak bertanding dalam separuh akhir Muzik-Muzik Ke-26 (MM26) di Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Ternyata pertandingan yang menjadi buah mulut peminat muzik tanah air saban tahun itu memperlihatkan saingan hebat daripada 30 buah lagu yang layak bertanding tahun ini.
Seperti mana yang dikatakan tadi, lagu-lagu berentak balada sememangnya menjadi tumpuan kali ini dan dilihat sebagai calon utama untuk mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-26 pada 29 Januari depan.
Antaranya Kisah Hati nyanyian Alyah, Beribu Sesalan (Ning Baizura, Jaclyn Victor & Shila Amzah), Awan Nano (Hafiz), Kisah Dongeng (Stacy), Sedetik Lebih (Anuar Zain), Luar Biasa (Shahir) dan Penakut (Yuna).
Tidak dilupakan lagu-lagu popular yang mendapat permintaan tinggi di corong radio seperti Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali & Altimet, Kekanda Adinda (Monoloque & Atilia) serta Kurnia (Mizz Nina & Noh) juga bakal memberikan saingan tahun ini.
Ia sekali gus membuktikan bahawa pasaran muzik masa kini tidak lagi didominasi oleh satu genre sahaja.
Sebaliknya, variasi yang ditonjolkan juga secara tidak langsung memberi signal bahawa industri muzik kita belum lagi ketandusan muzik yang berkualiti.
Mengulas tentang senario ini, Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studios Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria memberitahu pihaknya amat berpuas hati dengan perkembangan positif tersebut.
Tambahnya, ia sekali gus membuktikan bahawa industri muzik tempatan masih lagi mampu menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi.
"Kalau hendak memperkatakan tentang trend muzik semasa, ia adalah sesuatu yang normal dalam industri kita. Harus diakui, tiga tahun kebelakangan ini, muzik indie menjadi kegilaan ramai.
"Tetapi, sekarang ini kita sudah nampak variasi muzik yang dipertandingkan kali ini dan apa yang kami boleh katakan juga, ia kelihatan seimbang antara penyanyi solo dan kumpulan.
"Dalam masa yang sama juga, kami berbangga kerana tahun ini turut melibatkan penyertaan daripada pemuzik baru seperti Najwa Latif," ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar usai sesi cabutan undian giliran persembahan artis untuk separuh akhir MM26.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: