adilla

Menawan! Itulah boleh digambarkan terhadap wanita ini, ketika hadir di sesi fotografi bersama Zass. Lebih bermakna, keempat-empat anaknya turut hadir memeriahkan sesi fotografi ini. Jelas tergambar kegembiraan di wajahnya, sekali gus melambangkan kebahagiaan rumah tangganya.

Walaupun jarang mendengar berita mengenainya, namun peminat seni tempatan, tidak mungkin melupakan kehadirannya dalam bidang seni suara. Mempunyai cara tersendiri ketika melangkah ke dunia seni membuatkan dia berjaya mencipta nama sekali gus mendapat perhatian oleh peminatnya.

Lagu Bukan Aku Tak Cinta, nyanyian asal kumpulan Iklim nyata berjaya menyemarakkan namanya dalam bidang ini. Namun, apabila dia mula dikenali sebagai penyanyi, pemilik nama Fadzillah Idris, 39, tiba-tiba menyepikan diri.

Sehinggalah pada tahun lalu, penyanyi lebih dikenali menerusi nama Adilla, ini kembali mengubat rindu peminat dengan melancarkan album bergenre keroncong memuatkan lima buah lagu dinyanyikan semula mengikut versinya sendiri. Antaranya dimuatkan, Fantasia Bulan Madu, Permaidani, Srikandi Cintaku, Bukan Aku Tak Cinta dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Mengakui bahagia dengan kehidupan dan rumah tangga yang didirikan sejak 15 tahun lalu, Adilla berkata, dia tidak pernah memberikan alasan rumah tangga antara sebab dia terpaksa meninggalkan dunia seni buat sementara.

Menurutnya, sokongan suami tercinta, Tengku Ngah Putera Tengku Ahmad Tajudin,43, terhadap karier seni, sentiasa berterusan walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

“Memanglah di awal perkahwinan, suami bimbang sekiranya saya tidak dapat membahagikan masa untuk keluarga dan anak-anak. Namun dia tidak pernah menghalang saya bergiat aktif dalam bidang ini. Dia seorang suami yang memahami dan saya bersyukur dia menjadi bapa kepada anak-anak yang saya miliki kini.

“Bagaimanapun, atas rasa tanggung jawab dan memikirkan anak-anak masih kecil ketika itu, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri dalam bidang ini buat seketika. Sekarang apabila anak-anak semakin membesar saya mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada kerjaya,” kata ibu kepada Tengku Indra Iskandar,13 Tengku Indra Muzaffar, 9, Tengku Indra Zulkarnain, 7, dan Tengku Putri Rania, 3 tahun.

Ujarnya, sepajang tempoh itu, walaupun tidak mengeluarkan album, dia masih mendapat undangan persembahan di majlis makan malam sekitar negeri.

“Alhamdulillah, saya masih diterima dalam bidang nyanyian. Biasanya saya akan terima tawaran sekiranya tidak mempunyai sebarang agenda bersama keluarga. Jika tidak saya terpaksa menolaknya kerana keluarga tetap diutamakan,” katanya yang masih dalam perancangan menyiapkan beberapa lagu baru.

Miliki gimnasium

Bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang nyanyian, tetapi wanita jelita ini turut mempunyai perniagaan sendiri berkonsepkan kesihatan. Bermula dengan usaha untuk menguruskan badan selepas melahirkan anak sulungnya, Adilla berbangga kerana aktiviti senamrobik yang disertai lebih 10 tahun lalu, membuka ruang kepadanya mendalami bidang terbabit.

Setelah memperoleh, Sijil Jurulatih Senaman Bertauliah, daripada Kementerian Belia dan Sukan dan dilantik sebagai jurulatih senaman, Adilla mengambil keputusan membuka sebuah gimnasium diberikan nama Adilla Fitness Studio terletak di Seksyen 13, Shah Alam.

“Impian saya sudah tercapai. Bahkan saya baru sahaja selesai melancarkan buku kesihatan iaitu Fit Adilla. Buku tersebut mengandungi pelbagai faedah bersenam. Idea untuk menghasilkan buku ini pula datangnya daripada rakan yang melihat saya meminati bidang
senamrobik,” katanya.

Ditanya adakah masanya semakin terhad bersama keluarga, Adilla tersenyum penuh makna.

“Sebenarnya gimnasium yang diusahakan ini terletak di sebelah rumah sahaja. Jadi saya tidak mempunyai masalah untuk membahagikan waktu sama ada bersama keluarga atau kerjaya. Bahkan aktiviti nyanyian hanya dipenuhi jika mempunyai masa yang sesuai,” katanya.
Ujarnya, seperti ibu-ibu lain dia turut menentukan masa bersama anak-anak. Setiap hari rutinnya berjalan seperti biasa.

“Pada sebelah pagi saya menyiapkan anak-anak ke sekolah. Selepas mereka balik daripada sekolah, barulah saya meneruskan aktiviti sebagai cikgu senamrobik pada sebelah petang. Saya juga telah tetapkan waktu untuk aktiviti lain hanya pada sebelah petang dan malam.

“Saya tidak mahu anak-anak merasa terabai lebih-lebih lagi ketika ini mereka sedang bersekolah. Jadi fokus kepada anak-anak tidak pernah terganggu walaupun saya mempunyai banyak aktiviti luar,” katanya yang menetapkan masa hujung minggu sebagai hari bersama keluarga.

Tidak halang kerjaya anak

Bercerita mengenai anak-anaknya, Adilla, mengakui mereka juga cenderung meminati bidang muzik sejak kecil lagi.

Menurutnya, anak-anaknya kini semakin menunjukkan minat terhadap peralatan muzik.

"Iskandar minat main dram, Muzzafar pula lebih kepada keyboard, manakala Rania gemar menari. Pantang mendengar muzik, pasti dia akan menari. Buat masa sekarang, saya upah guru muzik datang ke rumah setiap minggu untuk mengajar anak-anak bermain muzik.

"Saya tidak pernah menghalang sekiranya mereka memilih bidang seni sebagai kerjaya suatu hari nanti. Saya pasti darah seni akan mengalir dalam diri mereka. Sekiranya satu hari nanti mereka bergelar insan seni, sebagai ibu saya sentiasa mendoakan mereka menjadi yang terbaik," katanya.

Petua keluarga bahagia

Tempoh 15 tahun adalah jangka masa yang panjang bagi sesebuah rumah tangga itu bertahan. Walaupun Adilla bukanlah suri rumah tangga sepenuh masa namun dia tetap berbangga kerana berjaya menjadi yang terbaik di mata suami dan anak-anak.
Ketika ditanya apakah petua kebahagiaan rumah tangga, sekali lagi, Adilla tersenyum lebar.

"Tiada apa-apa petua sebenarnya. Sebagai isteri dan ibu saya menjalankan tanggung jawab yang seharusnya dilakukan oleh golongan seperti kami dengan ikhlas sama seperti orang lain. Apa yang penting masa bersama mereka perlu diletakkan sebagai perkara yang paling penting dalam kehidupan sesebuah rumah tangga itu.

"Selagi tidak mengganggu masa bersama mereka, barulah saya melakukan aktiviti lain dengan tenang. Bagaimanapun, saya sentiasa bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang bahagia," katanya yang suka meluangkan masa menonton wayang dan bercuti bersama keluarga.