guru besar rasuah

BATU PAHAT – Kemen­terian Pelajaran tidak akan berkompromi dan bersedia mengenakan tindakan terhadap warga kementeriannya termasuk guru besar jika mereka didapati bersalah terlibat rasuah.

Timbalan Menteri Pela­jaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa semua yang terlibat ke muka pengadilan.

Bagaimanapun katanya, kementerian perlu terlebih dahulu menunggu hasil siasatan SPRM dan keputusan mahkamah, sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tatatertib tegas kepada guru berkenaan jika terbukti bersalah,” katanya selepas menyerahkan bantuan persekolahan RM100 peringkat negeri kepada 600,000 pelajar, semalam.

Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM60 juta.

Mohd Puad mengulas laporan media berhubung seorang guru besar sekolah rendah di Kajang, Selangor ditahan SPRM berkaitan dakwaan meminta suapan daripada pengusaha kantin.

Katanya, guru besar berusia lingkungan 50-an yang baru setahun berpindah ke sekolah itu, ditahan semasa menerima wang daripada pengusaha terbabit di pejabatnya.

“Semua penjawat awam tanpa mengira jawatan tidak boleh terlibat dengan rasuah. Justeru tidak timbul sama ada kuasa yang terlalu besar diberikan kepada guru besar menyebabkan golongan itu mudah mengambil suapan.

“Pemberian tender kantin sekolah diputuskan mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan guru besar, bermakna keputusan tersebut bukan dibuat hanya oleh guru besar terbabit.

“Semua orang ada bidang kuasa masing-masing jadi tidak timbul soal dia ada kuasa yang besar dan sebagainya. Kalau dia tak ada kuasa, susah pula hendak bertugas sebagai guru besar atau pengetua,” katanya.

Beliau berkata, rasuah bukan setakat menerima suapan malah menyalah guna kuasa juga adalah rasuah.