Seiring populariti, Justin Drew Bieber, atau lebih dikenali dengan Justin Bieber, 17, tidak pernah lekang dari kontroversi menghambat dirinya.
Bermula dengan kisah cintanya bersama penyanyi, Selena Gomez, Bieber kembali dihimpit dengan kisah anak luar nikahnya bersama salah seorang peminat.
Wanita bernama Mariah Yeater, 20 tahun itu, mendakwa anak lelakinya, Tristyn Anthony Markhouse Yeater, yang dilahirkan pada 6 Julai lalu, anak kepada Bieber hasil hubungan intim mereka selama 30 saat selepas konsertnya di Staples Center, 25 Oktober 2010.
Menerusi saman difailkan pada 31 Oktober lalu, Yeater meminta Bieber, 17, membayar nafkah dan kos perbelanjaan bayi mereka.
Pelbagai reaksi diterima peminat Bieber, namun ramai menyifatkan kontroversi itu, sebagai salah satu cara ‘membunuh’ kariernya.
Walaupun masih terkejut, Bieber tidak mudah melatah dan masih mampu memberikan penjelasan menerusi Twitternya. Menurut Bieber, kontroversi itu tidak akan menggugat kariernya sebagai penyanyi.
“Saya tidak akan mempedulikan khabar angin itu dan fokus kepada apa yang saya sukakan. Nilailah saya menerusi muzik saya. Saya sayangkan anda semua,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Baby ini.
Tidak mahu isu itu terus berlarutan, Bieber, membuat keputusan menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) untuk membuktikan dia bukanlah bapa kepada bayi itu.
Bagaimanapun, sekiranya ujian positif, Bieber harus membayar hampir RM900,000 sebagai kos saraan bayi itu setiap bulan.
Salena gomez bawa diri?
Sejak tersebarnya berita itu, Salena Gomez seakan menyembunyikan diri. Ramai bertanya-tanya, apakah reaksi pelakon Monte Carlo ini, sebaik mendapat tahu berita itu. Pelbagai spekulasi mula timbul mengenai hubungan mereka kini. Ada segelintir pihak mendakwa hubungan mereka semakin retak, sementelah lagi pasangan ini pernah dikhabarkan putus cinta sebelum ini. Dengan tercetusnya kontroversi baru ini, pastinya akan menggugat lagi hubungan mereka.
Bagaimanapun, sehingga kini, baik Bieber atau Gomez, dilihat jarang bersama dan masing-masing menyibukkan diri dengan karier seni.
Mengimbau kisah percintaan mereka, Bieber dan Gomez, mula menjalin hubungan sekitar awal tahun lalu. Saling terpesona antara satu sama lain, hubungan mereka dilihat semakin serius dari hari ke hari. Malah apa saja mereka lakukan akan menjadi perhatian media.
Bagaimanapun, hubungan mereka bukannya disenangi semua orang, terutamanya peminat fanatik Bieber, yang sanggup membuat ugutan bunuh kepada Selena dan memberi amaran agar menjauhkan diri dari Bieber.
Namun, hubungan cinta mereka terlalu kuat dan sehingga kini masih lagi bergelar pasangan kekasih. Bagi Selena juga, ia bukanlah sesuatu masalah yang besar baginya kerana Bieber, sememangnya digilai ramai wanita.
Bermula dengan Youtube
Penglibatan Bieber dalam industri muzik adalah sesuatu di luar jangkaannya, kerana ia berlaku begitu cepat. Sebelum bergelar artis, Bieber hanya menyanyi untuk pertandingan di sekolah sahaja.
Berasal daripada keluarga sederhana, ibunya, Mallette, menjadi pembakar semangatnya untuk terus berusaha mencapai cita-cita.
Ketika Bieber menyertai pertandingan nyanyian di Stratford, ibunya merakam persembahan itu dan memuat naik ke laman Youtube, untuk berkongsi dengan ahli keluarganya.
Secara tidak langsung, video itu dilihat oleh, Scooter Braun dan dia berminat untuk menjadikan Bieber sebagai penyanyi. Braun meminta Bieber agar menemui penyanyi, Usher di Atlanta, Georgia.
Bieber ditawarkan menjadi artis rakaman, Island Records, pada 2008 dan sejak itulah kehidupannya mula berubah. Single pertamanya, One Time dilancarkan pada 2009 membuahkan hasil, apabila tersenarai dalam Top 10 carta di Canada, dan tujuh lagi negara lain.
Baby adalah lagu yang paling popular dan mendapat sambutan paling memberangsangkan menerusi album dan juga muat turun di laman Youtube.
Seterusnya, pada 2009 juga, album My World Tour, telah diperkenalkan dan berjaya mendapat sijil Platinum di Amerika Syarikat. Selepas itu, Bieber muncul dengan album My Worlds Acoustic dan Never Say Never pada tahun ini.
Sepanjang penglibatannya dalam industri muzik, Bieber berjaya merangkul beberapa anugerah termasuk, Pemenang American Music Award 2010, Best New Artist dan Best Pop Vocal Album di Grammy Award yang ke-53.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: