SEGALA urusan perniagaannya untuk hari itu terpaksa dihentikan bagi menghabiskan masa di Kedutaan Bangladesh.
Awal-awal pagi lagi dia sudah bersiap sedia dengan dokumen yang diperlukan agar tiada yang tercicir.
Md Saiful, 35, merupakan salah seorang daripada majikan pekerja asing yang turut beratur panjang bersama ribuan pekerja Bangladesh yang lain.
Dia yang berasal dari Bangladesh dan sudah 17 tahun menetap di Malaysia datang ke sini bagi menjalani proses Pemutihan terhadap pekerja-pekerjanya yang diambil dari negara kelahirannya.
“Saya ada 187 pekerja Bangladesh dan 25 pekerja Indonesia.
“Kesemua mereka telah didaftarkan dan kini perlu menjalani proses Pemutihan,” katanya kepada Mingguan mStar.
Md Saiful berkata sebelum ini dia pernah membawa kesemua 187 dokumen diri pekerjanya dan 30 daripadanya turut menghadirkan diri.
Namun, selepas beratur panjang hampir separuh hari dia terpaksa pulang kehampaan kerana urusan tidak dapat diselesaikan.
“Dokumen sahaja tak cukup. Pihak kedutaan mahu kesemua 187 pekerja saya datang ke sini.
“Tanpa alasan, dokumen 30 pekerja yang datang bersama saya pada hari tersebut juga ditolak,” katanya.
Tambahnya, kali ini dia datang bersama 10 pekerjanya yang datang ke ibu kota dari Johor.
“Saya terpaksa bawa mereka secara berperingkat kerana bilangan mereka yang ramai.
“Memang susah, tapi saya terpaksa ikut kerana ianya undang-undang.
“Saya fahan semua ini dibuat untuk kebaikan pekerja asing dan kedua-dua negara juga,” katanya.
Sanggup beratur berjam-jam
Seawal 6 pagi Shohan bersama rakan-rakannya bertolak dari Kajang ke kedutaan menaiki bas awam.
Tiba di kedutaan, dia terus beratur bagi mendapatkan nombor giliran.
1729 - Dia menunjukkan kertas kuning nombor gilirannya yang dikepilkan bersama dokumen pengenalan dirinya kepada Mingguan mStar.
“Sekarang saya dan kawan-kawan beratur untuk ditemuduga. Hari ini kami datang ke sini seramai 50 orang,” katanya.
Shohan berkata, dia dan rakan-rakannya sudah maklum tentang keadaan di sini yang memerlukan mereka berdepan dengan terik matahari atau hujan.
Namun, bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan di kemudian hari, kesusahan sementara itu tidak dihiraukan.
Tambahnya, mereka juga telah bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Bagi mengurangkan kos, mereka terlebih dahulu telah makan sebelum tiba di sini.
“Kami semua sudah makan. Di sini cuma beratur sahaja. Kalau dahaga kami akan beli minuman.
“Tambang untuk datang ke sini sahaja sudah RM6. Kalau betul-betul lapar barulah kami akan beli makanan yang dijual,” ujarnya yang berkunjung ke situ untuk mendapatkan pasport baru.
Susah, tapi hargai peluang
Kedutaan Bangladesh bukanlah lokasi asing bagi Suruj Miah, 53, yang sudah 18 tahun menetap di Malaysia.
“Saya pernah datang ke sini lebih kurang 20 kali. Hari ini saya datang untuk buat pasport baru,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, untuk datang ke Kedutaan Bangladesh dari Kepong, dia perlu menaiki dua bas.
Walau bagaimanapun, dia mengakui banyak masa, tenaga dan wang yang terpaksa dibazirkan di kedutaan kerana masalah komunikasi dan dokumen tidak lengkap.
“Untuk membuat pasport kali ini sahaja, saya sudah empat kali datang ke sini. Semua ini kerana kesilapan saya sendiri yang tidak mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.
Di sebalik kesusahan itu, dia akur dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia, malah berterima kasih kerana memberi peluang kepada Pati di negara ini mendaftar secara sah, mendapat pengampunan dan dihantar pulang tanpa dikenakan tindakan.
Kantin tempat berteduh
PEMILIK kantin bersebelahan kawasan kedutaan Bangladesh, Md Guessuddin, mengakui selain menjadi tempat makan, kantinnya yang berbumbungkan khemah itu turut menjadi tempat berteduh warga Bangladesh yang berurusan di situ ketika hari hujan.
“Bila hujan kebanyakannya lari ke sini. Saya tak marah mereka. Kalau ada yang tak ada duit tapi mahu makan, saya akan berikan percuma sahaja,” katanya.
Dia yang berniaga sambil membuat kebajikan menyewa satu tapak di halaman banglo kosong yang terletak bersebelahan bangunan kedutaan.
Antara yang dijual ialah nasi kuning, kari, capati yang dimasak menggunakan resipi tradisi Bangladesh.
Md Guessuddin yang telah 20 tahun menetap di Malaysia berkata masyarakat Bangladesh gemar makan nasi bersama kari daging dan itik.
“Saya faham keadaan mereka. Bukan semua yang datang ke sini berduit. Ada yang datang cukup-cukup tambang pergi dan balik sahaja.
“Jadi saya jual murah-murah kepada mereka,” katanya yang membayar sebanyak RM3,900, sebulan sebagai sewa tapak untuk kantin.
Minuman paling penting
Di tengah ‘lautan’ manusia yang sedang beratur panjang, seorang warga Bangladesh yang hanya mahu dikenali sebagai Nasir, 28, dilihat sedang mengusung sebuah baldi.
Di dalam baldi itu terdapat minuman ringan pelbagai perisa.
Tugasnya hanyalah berjalan di sepanjang barisan sambil menunggu dirinya disapa oleh mereka yang sedang beratur dan ingin membeli minuman.
Nasir berkata dia berniaga di situ sejak September lalu setelah melihat ramai warga Bangladesh berkumpul dan menghabiskan masa hampir sehari di kawasan tersebut.
“Saya rasa dapat tambah duit jika berniaga sambilan. Produk terbaik ialah minuman ringan,” katanya kepada Mingguan mStar.
Dia yang sudah lima tahun menetap di Malaysia berkata dalam sehari dia mampu menjual sehingga 150 tin minuman.
“Setiap hari saya datang ke sini pukul 7 pagi dan pulang pukul 2 petang. Selepas itu saya pulang kerana ada kerja lain.
“Saya tahu ramai yang dahaga kerana lama menunggu. Minuman adalah paling penting di sini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: