KERANA minat, beratur panjang di stadium untuk membeli tiket perlawanan bola sepak bukanlah satu masalah.
Sama juga halnya jika berdiri berjam-jam, bersesak sambil mengesat peluh menonton konsert artis pujaan yang akhirnya membuatkan hati terasa puas.
Di sekitar Kedutaan Bangladesh yang terletak di Jalan Damai, Kuala Lumpur, terdapat juga manusia yang sanggup beratur, berdiri dan bersesak tetapi bukan kerana mahu beli tiket bola atau menonton konsert.
Melewati laluan utama kawasan ini, mata pasti akan tertumpu kepada ribuan manusia yang sedang beratur panjang.
Mereka yang sedang beratur ini bukanlah rakyat tempatan, sebaliknya warga Bangladesh, warga asing kedua terbanyak yang bekerja di Malaysia selepas Indonesia.
Tidak hairanlah bangunan kedutaan yang besar itu tidak lagi kelihatan kerana ribuan rakyatnya sendiri telah ‘menenggelamkannya’.
Dari jarak 150 meter, pemandangan di sini tak ubah seperti pasar malam yang meriah dengan pengunjung pelbagai ragam dan gelagat.
Dari jarak dekat, barulah dapat dilihat dengan jelas barisan sepanjang kira-kira 100 meter yang dibentuk warga Bangladesh ini sendiri.
Di sini juga peniaga-peniaga Bangladesh dan tempatan sibuk memperaga barang jualan mereka, termasuklah Muri, sejenis makanan popular masyarakat Bangladesh.
Tak kurang juga yang mengusung barangan seperti suratkhabar Bangladesh dan minuman ringan sambil mendekati rakan senegara yang sedang beratur panjang itu.
Sesak
Di tepi jalan laluan utama, teksi merah-putih sibuk mengangkut dan menurunkan penumpang.
Di satu simpang, bas Metro bernombor 79 sibuk ‘memuntahkan’ penumpang yang rata-ratanya adalah warga Bangladesh, menjadikan trafik di sini sesak sambil si konduktor terpekik memanggil penumpang di luar mengisi ‘perut’ bas.
Ditambah tabiat pemandu kota yang gemar memperlahankan kenderaan melihat apa yang berlaku di luar jendela, bertambah sesaklah jadinya trafik di sini.
Rata-rata tidak mahu melepaskan peluang melihat situasi yang pelik ini.
Situasi di mana manusia sanggup tidur di tepi jalan dan lepak beramai-ramai di dalam longkang untuk tujuan yang masyarakat umum tidak ketahui.
Berpanas, berhujan
Mereka yang beratur panjang di sini sebenarnya mempunyai urusan berkaitan status pendatang di negara ini.
Tiada pilihan, kebanyakan mereka terpaksa datang dari seluruh negeri di Malaysia dan beratur panjang berjam-jam lamanya demi mendapatkan sekeping pasport.
Pendatang asing tanpa izin (Pati) perlu menjalani program Pemutihan iaitu fasa kedua dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang disyaratkan kerajaan Malaysia selepas proses pendaftaran tamat pada 31 Ogos lalu.
“Panas pun beratur, sama juga kalau hari hujan,” seorang warga Bangladesh, Mohamad Kamrul Hasan memberi informasi kepada Mingguan mStar ketika tinjauan dilakukan di luar kawasan Kedutaan Bangladesh.
Mohamad Kamrul yang sudah enam tahun menetap di negara ini berkata kawasan ini menjadi sesak sejak kerajaan Malaysia memberi peluang kepada pekerja asing dan Pati mendaftarkan diri mereka sebagai pekerja sah di sini tanpa sebarang tindakan.
“Sama ada mahu kerja secara sah atau mahu pulang tanpa tindakan, mereka perlu ke sini,” katanya.
Dia yang berkhidmat secara sukarela dengan membantu rakan senegaranya di negara ini berurusan di luar bangunan kedutaan sejak September lalu berkata lokasi ini akan dipenuhi kira-kira 4,000 hingga 5,000 warga Bangladesh setiap hari.
“Mereka tak pandai tulis dan baca. Saya tolong mereka isi borang sebelum beri kepada pihak kedutaan. Mereka hanya kena bayar dua hingga tiga ringgit sahaja,” katanya.
Simpati nasib rakan senegara
Siang dan malam berada di sini, dia mengaku bersimpati dengan nasib sesetengah pekerja yang datang dari luar Kuala Lumpur dan terpaksa bermalam di luar kedutaan sementara menunggu kedutaan dibuka pada esok hari pada pukul 9.30 malam.
Katanya, dia hanya membantu setakat termampu kerana jumlah yang datang dan bermalam di situ agak ramai.
Tambahnya, pergaduhan kecil di situ merupakan senario biasa yang dapat dilihat setiap hari.
“Masing-masing tertekan kerana terlalu lama di sini. Cuaca pun tak menentu. Biasanya mereka bergaduh kerana ada di kalangan mereka yang memotong barisan,” katanya.
Walau bagaimanapun, dia berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana terdapat polis bantuan yang memantau kawasan ini 24 jam sehari.
Malah, di sini juga terdapat Balai Polis Bergerak dan kawat besi telah dipasang di kawasan tertentu sebagai salah satu daripada proses pemantauan.
Undang-undang dua negara
Pendatang asing yang bekerja di sini terikat dengan undang-undang dua negara iaitu Malaysia dan negara mereka sendiri.
Bagi mendapatkan status pekerja sah, kerajaan Bangladesh juga telah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi rakyatnya.
Dokumen seperti surat pengesahan ketua kampung dan majikan, gambar dan surat pengenalan diri perlu disertakan oleh pemohon selain dikenakan bayaran sebanyak RM102.
“Mula-mula mereka kena beratur dan ambil nombor giliran. Kemudian beratur sekali lagi untuk temuduga dan mendapatkan resit. Pada resit itu terdapat tarikh pasport dijangka siap.
“Biasanya pasport siap selepas dua hingga tiga bulan dan mereka perlu datang sekali lagi ke sini,” katanya.
Di sebalik syarat tersebut, Mohamad Kamrul tidak menafikan ramai pemohon terpaksa berulang-alik ke sini beberapa kali kerana beberapa faktor.
“Pemohon terlalu ramai, sudah tentu pengurusan bersistematik diperlukan.
“Terdapat banyak kes pekerja datang ke sini untuk ambil pasport pada tarikh yang tertera pada resit, tetapi mereka terpaksa pulang kerana pasport belum siap.
“Tak dinafikan kebanyakan yang datang tak faham apa yang dikehendaki pihak kedutaan dan ada juga yang salah faham. Kesudahannya, mereka perlu bazirkan masa, tenaga dan wang untuk datang ke sini sehingga urusan selesai,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: