Tuesday, November 15, 2011

Sukarelawan Tempatan Bantu Apa Yang Patut

SAHUL HAMID

SEDAR kepayahan yang perlu ditanggung pekerja Bangladesh untuk mendapatkan pasport dan status sah di negara ini kerana bilangan mereka yang ramai telah membuatkan usahawan tempatan, Sahul Hamid Rowther Mohamad Bawa terpanggil menghulurkan bantuan.

“Bila kerajaan umumkan Program 6P, saya dapat bayangkan bagaimana sesaknya keadaan di sini.

“Kebetulan tempat ini kosong, saya terus menyewanya untuk dijadikan pusat bagi membantu mereka yang bermasalah dari segi dokumentasi dan mahu mendapatkan khidmat nasihat,” katanya kepada Mingguan mStar.

Sahul Hamid berkata, selain menjadi pusat rundingan, banglo bersebelahan kedutaan yang disewanya itu turut mempunyai kantin, tandas, pejabat dan dapat dijadikan tempat berteduh.

Malah, halaman banglo tersebut juga dijadikan tempat letak kereta warga kerja Kedutaan Bangladesh kerana keadaan di dalam kedutaan sentiasa dipenuhi 700-800 orang warga Bangladesh pada waktu urusan.

Halaman banglo bersebelahan bangunan kedutaan disewa bagi memberi kemudahan kepada pekerja bangladesh yang berurusan di sini.

“Ada masanya, mereka yang tunggu dari malam kita benarkan mereka tumpang tidur di sini, begitu juga yang mahu solat.

“Solat di sini lebih mudah dan selesa berbanding solat di bangunan kedutaan yang memerlukan mereka bersesak untuk masuk ke dalam,” jelasnya sambil memberitahu 95 peratus pekerja Bangladesh di negara ini beragama Islam.

Seorang pekerja asing Bangladesh sempat menunaikan solat Zohor di banglo yang disewa sementara menunggu gilirannya tiba.

Sahul Hamid berkata, jika dia tidak menyewa banglo tersebut, keadaan trafik akan menjadi lebih sesak berbanding sekarang.

Dia yang sering berulang-alik ke Bangladesh atas urusan perniagaan berkata, seramai 20 sukarelawan dari negara itu telah diambil berkhidmat dengannya di pusat ini.

“Saya ambil orang Bangladesh juga sebab hanya mereka yang dapat bantu rakan senegara mereka yang tak pandai membaca dan menulis.

“Caj yang diterima itu akan diagihkan sama rata sesama sukarelawan,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan internet, faks dan percetakan.

Sukarelawan Bangladesh membantu rakan-rakan senegara yang tidak tahu membaca dan menulis mengisi borang untuk diserahkan ke pihak kedutaan.

Ditanya apakah kebanjiran warga Bangladesh di situ disebabkan kelemahan sistem yang diguna pakai dia menjawab:

“Walaupun keadaan sebegini hanya sementara, pihak kedutaan harus melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan lebih terkawal dan tidak mengganggu masyarakat tempatan,” jelasnya.

Tambahnya, sistem yang diguna pakai Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dan beberapa kedutaan negara lain adalah contoh terbaik.

Walaupun Indonesia mempunyai bilangan pekerja yang paling ramai di negara ini, situasi di KBRI masih dalam keadaan terkawal.

“Pernah juga saya bincang dengan mereka tentang perkara ini tapi semua itu bergantung kepada kerajaan Bangladesh untuk menjaga kebajikan warganya di sini.

“Saya sebagai warga tempatan hanya dapat membantu dari luar sahaja,” katanya.

Nampak kesungguhan Pati

Feroz Khan (kanan) kagum melihat kesungguhan Pati melalui proses Pemutihan.

Feroz Khan, 29, merupakan warga tempatan yang menguruskan kawasan gerai-gerai sementara berhadapan Kedutaan Bangladesh.

Setiap hari, dia dapat melihat gelagat warga Bangladesh yang datang ke sini dan berpeluang mengenali mereka dengan lebih dekat.

“Apa yang kita nampak ini menunjukkan kepada kita bahawa mereka begitu komited untuk bekerja di sini.

“Apabila diberi peluang bekerja secara sah dan tanpa gangguan, mereka sanggup buat apa saja asalkan mereka dapat bekerja,” katanya.

Menurut Feroz yang turut membuka gerai di sini, dia menganggap kemasukan warga asing secara amnya banyak membantu dalam pembangunan negara.

Justeru, dia melihat negara dan pekerja asing sebagai saling memerlukan.

Mengulas tentang pekerja asing Bangladesh, dia berpendapat mereka semua sebagai sumber manusia yang banyak membantu syarikat-syarikat dalam membangunkan projek bernilai tinggi.

“Mereka adalah sumber alternatif yang baik. Saya harap peluang yang diberikan kerajaan kita digunakan mereka dengan sebaiknya,” katanya.

Kedutaan Myanmar Lebih Terkawal

Tindakan kumpulan pekerja Myanmar melepak dan tidur di tepi jalan merupakan menjadi salah satu faktor jalan di hadapan kedutaan menjadi sesak.

JIKA suasana di kedutaan Bangladesh sangat sesak dengan warganya yang beratur untuk pelbagai urusan, keadaan di Kedutaan Myanmar yang terletak di Jalan Ampang Hilir agak terkawal.

Menerusi tinjauan yang dilakukan Mingguan mStar di sini, pemohon yang datang ke kedutaan untuk proses Pemutihan tidak seramai pemohon Bangladesh.

Namun, disebabkan kedutaan terletak di kawasan perumahan dan mempunyai jalan yang sempit, trafik di kawasan ini tetap sesak.

Ditambah pula adanya kumpulan pemohon yang tidur dan ‘tersadai’ tepi jalan kerana keletihan menunggu, tidak hairanlah jalan di hadapan bangunan itu menjadi lebih sesak kerana tindakan mereka itu menarik perhatian kenderaan yang lalu-lalang.

Memasuki pintu utama kedutaan, pekerja Myanmar berpeluang melihat status permohonan mereka di satu papan kenyataan yang diletakkan berhampiran pintu masuk.

Tidak seperti barisan di Kedutaan Bangladesh yang panjang diibaratkan seperti ular, barisan yang terbentuk di sini lebih lurus di samping bumbung yang disediakan.

Malah, terdapat kaunter khas dibuka untuk bagi kemudahan dua pihak iaitu pekerja dan pemohon.

Seorang rakyat Myanmar, K.Aung Thang ketika ditemui Mingguan mStar berkata, dia amat berpuas hati dengan khidmat yang diberikan pihak kedutaan negaranya.

Jelasnya, selagi seseorang itu membawa dokumen yang diperlukan dan mengisi borang dengan lengkap, masalah untuk mendapatkan pasport tidak akan timbul.

“Kami perlu membawa kad pengenalan diri, surat pengesahan polis dan surat pengesahan ketua kampung di Myanmar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: