peniaga bersalah

IPOH – Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang peniaga, Loh Yoon Fat, 40, selepas dia didapati dengan sengaja menyebabkan kematian seorang pelanggan restoran, dua tahun lalu.

Yoon Fatt yang bekerja sebagai peniaga kasut disabitkan kesalahan membunuh Lam Siew Keong, 59, di tempat letak kenderaan sebuah restoran di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini, pada jam 9.20 malam, 25 Disember 2009.

Pesuruhjaya kehakiman, Teo Say Eng berkata, mahkamah menerima semua 13 saksi pendakwaan dan menolak hujah pembelaan yang gagal membuktikan semua isu yang dikemukakan di peringkat pembelaan diri.

“Selepas diteliti, tertuduh dengan sengaja memukul di bahagian belakang kepala si mati dengan pengunci stereng kereta dengan sekali pukulan. Ini menunjukkan tertuduh sengaja memukul mangsa sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga seorang ahli perniagaan bersama keluarganya mendapati sebuah kereta telah menghalang keretanya selepas makan malam di restoran berhampiran.

Akibat bengang menunggu lebih 10 minit, mangsa telah menendang bahagian hadapan kenderaan itu sebelum tertuduh meminta ganti rugi. Setelah bertekak, tertuduh kemudian mengambil pengunci stereng kereta lalu memukul mangsa.

Mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan menjalani pembedahan pertama akibat pendarahan dan tulang patah di bahagian kanan dan kiri kepala. Otak mangsa tidak berfungsi dan diwadkan selama lima hari sebelum disahkan meninggal dunia.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan akibat kecederaan teruk dipukul dengan senjata tumpul di kepala.

Pihak pembelaan juga gagal membuktikan bahawa tertuduh memukul mangsa dalam keadaan provokasi selain mengaitkan punca kematian adalah disebabkan dua pembedahan di bahagian kepala.

Yoon Fatt yang mendengar hukuman tersebut terus terduduk seolah-olah tidak percaya dengan hukuman yang bakal dihadapinya. Ahli keluarga yang hadir bertindak menenangkannya di kandang tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan pendakwa Raya, Nur Laila Mohamed Nazil sementara tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.

Naran Singh berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.