Friday, December 10, 2010

Usaha Panasonic lestarikan alam sekitar


SEBAHAGIAN besar produk Panasonic menggunakan bahan kitar semula dan kurang membebaskan karbon dioksida semasa digunakan.


KETIKA memulakan perniagaannya pada tahun 1918, pengasas Matsushita Electric Housewares Manufacturing Works (kini dikenali sebagai Panasonic Corporation) yang berpusat di Osaka, Jepun, Tan Sri Konosuke Matsushita, sentiasa menjadikan sikap merendah diri sebagai aspek utama dalam menjalankan perniagaan.

Malah, keuntungan dijadikan sebagai faktor kedua dalam perniagaan. Permintaan pelanggan diutamakan.

Falsafah itu bukan dipraktikkan ketika itu sahaja, tetapi terus menjadi falsafah pengurusan Panasonic hingga ke hari ini.

Atas dasar itulah, sempena ulang tahun ke-100 pada 2018, Panasonic mengambil ketetapan untuk menjadi peneraju syarikat inovasi hijau dalam industri elektronik.

Ia sebagai menyahut usaha pemuliharaan alam sekitar secara global.

Ini termasuk Inovasi Kehidupan Hijau yang akan memperkayakan kehidupan manusia melalui pelbagai idea Panasonic dan Inovasi Perniagaan Hijau yang dilihat akan mengurangkan kesan kemusnahan alam sekitar melalui operasi dan mempromosikan gaya perniagaan mesra alam kepada komuniti global.

Matsushita pernah berkata: “Untuk mengenal pasti tanggungjawab kita sebagai pemain industri, kita perlu menghambakan diri kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat serta kebajikan orang ramai melalui aktiviti perniagaan kita. Ini akan meningkatkan kualiti kehidupan di seluruh dunia.”

Itulah sebabnya, Panasonic kini menumpukan usaha dalam melestarikan alam sekitar melalui pelbagai cabang perniagaannya, termasuk dalam pemasaran produk hijau menyeluruh mereka yang bakal menyaksikan 30 peratus penguasaan di pasaran global.

Dengan isu alam sekitar global yang semakin ketara, Panasonic merasakan sudah sampai masanya mereka melakukan sesuatu dengan lebih berkesan dan bukan hanya mengeluarkan produk-produk hijau sahaja.

Menurut Presiden Panasonic, Fumio Ohtsubo, perniagaan utama Panasonic ialah untuk memastikan kehidupan orang ramai selamat, selesa dan lebih berkualiti.

“Ini merupakan falsafah utama pengurusan Panasonic. Untuk mencapai sasaran berkenaan kami perlu menjalankan pelbagai penyelidikan pengguna di seluruh dunia.

“Dengan cara itu, kami akan berjaya untuk memahami secara terperinci mengenai cara hidup dan juga tabiat mereka. Ia untuk memudahkan kami mengeluarkan satu-satu produk,” katanya pada forum Visi Korporat 2018 dan Pelan Hijau 2018 bersempena Pameran Bersama Teknologi Lanjutan (CEATEC 2010) di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Malah kata Ohtsubo, pendekatan ke arah apa yang diingini oleh orang ramai termasuk penggunaan teknologi dan inovasi hijau juga merupakan salah satu legasi yang ditinggalkan Matsushita.

“Mendiang Matsushita berjaya mencipta soket penyambung yang ketika itu sebenarnya amat diperlukan oleh masyarakat Jepun.

“Ini berikutan ketika itu (1917), satu-satunya bekalan elektrik hanyalah di bahagian bumbung yang membekalkan elektrik kepada lampu.

“Disebabkan tiada soket bekalan elektrik seperti yang ada sekarang, ramai tidak mampu menggunakan peralatan elektrik lain.

“Atas inisiatif itu, mendiang Matsushita mencipta soket penyambung yang boleh menyambung laluan bekalan elektrik di bumbung dengan mana-mana peralatan elektrik,” katanya.

Usaha itu sebenarnya kata Ohtsubo, menjadi titik tolak kepada kemajuan Panasonic sekarang. Malah inovasi hijau yang ditekankan juga merupakan satu usaha yang amat dimahukan oleh Matsushita.

“Beliau mahu semua yang ada di Panasonic mendahulukan masyarakat dalam membangunkan produk.

“Isu alam sekitar global yang semakin merosot yang akan memberikan kesan mendalam kepada orang ramai secara global juga telah menyebabkan kami mahu menjadi peneraju utama atau nombor satu sebagai Syarikat Inovasi Hijau,” katanya.

Namun kata Ohtsubo, inovasi hijau itu bukan isu baru kepada Panasonic kerana pada April 2007 mereka telah melancarkan asas alam sekitar, eco ideas.

Menurut beliau, eco ideas merupakan satu simbol yang mewakili komitmen, inisiatif dan sikap mereka ke arah pemuliharaan alam sekitar pada semua sektor dan peringkat di Panasonic.

“Usaha paling utama eco ideas ini akan kami terjemahkan melalui visi ke arah menjadi peneraju sebagai Syarikat Inovasi Hijau global pada tahun 2018 yang juga menyaksikan ulang tahun ke-100 Panasonic sejak ia ditubuhkan oleh mendiang Matsushita,” katanya.

Usaha itu kata Ohtsubo, menyaksikan mereka kini berjaya bergabung dengan Sanyo Electric Co. (Sanyo) pada Disember 2009 dalam merealisasikan hasrat menjadi peneraju global Syarikat Inovasi Hijau.

Ini menurut beliau, disebabkan kepakaran Sanyo dalam bateri caj semula dan sistem tenaga solar membolehkan satu gabungan dengan kepakaran Panasonic yang mampu menghasilkan produk dengan teknologi hijau yang lebih mantap.

“Walaupun produk-produk audio visual Sanyo terpaksa ‘dikorbankan’, dalam tempoh yang panjang, kami dapat merasakan gabungan ini mampu membawa Kumpulan Panasonic ke arah Syarikat Inovasi Hijau yang lebih berkesan,” katanya.

Selain gabungan itu, Ohtsubo turut menerangkan mengenai Pelan Hijau 2018 di mana antara perkara pokok yang bakal diambil kira ialah mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).

Menurut beliau, dalam mengurangkan pelepasan CO2, Panasonic mengambil pendekatan di mana pada tahun 2018, pelepasan CO2 akan berada pada kemuncaknya iaitu 120 juta tan dan ia kemudian akan diturunkan sehingga mencapai tahap sifar.

“Pengurangan pelepasan ini akan kami lakukan pada semua aktiviti pembuatan dan juga produk yang akan dikeluarkan, bermaksud di peringkat kami dan juga di peringkat pengguna,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: