Monday, December 27, 2010

Cungkil Rahsia Pasangan Selebriti


PROGRAM ini bakal menguji keserasian antara pasangan selebriti dalam menjawab soalan kuiz berkaitan rumah tangga.


ASTRO sememangnya tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan pelbagai program menarik buat tatapan penonton. Terbaru, mereka kini muncul dengan sebuah program permainan dikenali sebagai Serasi Bersama yang menguji tahap keserasian pasangan selebriti.

Ia merupakan sebuah rancangan berkonsepkan kuiz yang melibatkan selebriti popular tanah air, yang mana mereka akan diajukan pelbagai soalan yang berkaitan dengan rahsia rumah tangga.

Merupakan sebuah program yang diadaptasi daripada rancangan Mr. & Mrs. yang cukup popular di England ketika ini, ia turut menampilkan Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira sebagai hos bersama.

Menurut Aznil, menerusi program tersebut, sebanyak tiga pasangan akan bertanding dan mereka akan diajukan dengan pelbagai soalan yang merangkumi rahsia rumah tangga mereka. Pasangan yang dapat memberikan jawapan yang sama paling banyak akan memenanginya.

“Menariknya tentang Serasi Bersama, penonton akan dapat menyaksikan begitu bahagianya setiap pasangan yang mengambil bahagian dan menerusi rancangan ini dapat dicungkil tentang rahsia perkahwinan mereka.

“Kepada pasangan yang muncul sebagai pemenang, kesemua wang kemenangan yang diraih mereka akan didermakan kepada badan kebajikan yang mereka pilih sendiri,” ujar Aznil ketika ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kebanyakan pasangan yang menyertai rancangan itu juga sudah lama mendirikan rumah tangga iaitu lebih daripada 10 tahun dan ada yang baru mengecapi nikmat berumah tangga.

Antara pasangan selebriti yang menyertai rancangan ini seperti pasangan Aziz M. Osman, Bienda, Mustapha Kamal, Adlin Aman Ramlie serta tidak ketinggalan pasangan penulis novel terkenal, Ahadiat Akashah dan pasangan jurulatih bola sepak, Dollah Salleh.

Rapatkan Hubungan

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pemilihan Aznil dan Shahira untuk menjadi pengacara sememangnya bertepatan dengan konsep rancangan yang mula disiarkan sejak 19 Disember lalu setiap Sabtu dan Ahad, pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104).

Tambah Azlin, pihaknya yakin dengan kemampuan kedua-dua pengacara berkenaan yang mampu untuk berinteraksi dengan bersahaja bersama pasangan hingga membuatkan mereka lebih terbuka untuk berkongsi rahsia kepada penonton.

“Menerusi program ini, bukan kemenangan yang menjadi keutamaan kerana apa yang lebih penting pasangan selebiriti yang menyertai rancangan ini juga dapat melakukan kerja amal,” ujarnya.

Bagi pasangan yang sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga, Monoloqe dan isterinya Dahlia Nadira Juhari, dia menganggap rancangan ini mampu untuk merapatkan hubungan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Menurutnya, memandangkan dia dan isterinya sibuk dengan kerjaya masing-masing, maka menerusi penglibatan mereka dengan Serasi Bersama telah memberi peluang untuk mereka lebih menyelami keserasian sebagai pasangan suami isteri.

“Boleh dikatakan masa untuk kami berdua bersama agak terhad memandangkan isteri saya seorang kakitangan sebuah bank dan saya pula sibuk dengan kerja dan banyak menghabiskan waktu di studio.

“Lagipun, saya rasa ia sebuah rancangan yang menarik dan tidak salah kalau kami nak mencuba. Malah, soalan yang diajukan juga terlalu umum dan tidak salah rasanya untuk dikongsi bersama penonton," ujarnya.

Sementara bagi Dollah Salleh pula, dia merasakan tidak salah buat dia dan isteri jika dapat berkongsi sedikit tentang rahsia kebahagiaan rumah tangga yang telah dibina mereka sejak 23 tahun lalu.

Menurut Dollah, dia terpanggil untuk menyertai rancangan tersebut setelah diajak oleh isterinya yang telah mendapat panggilan daripada pihak Astro yang mengundang mereka.

“Pada mulanya saya kata kepada isteri mahu fikir dahulu sebelum buat keputusan. Bagaimanapun, setelah menonton sendiri rancangan berkenaan di laman YouTube untuk versi luar negara, saya mendapati rancangan ini memang cukup menarik,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: