Friday, December 31, 2010

Potensi besar dorong suami isteri ceburi PKS




Kegigihan Kamariah Abdul Karim dan suaminya, Misran Yaacob (gambar) mengusahakan perniagaan kuih karas dan dadih berbaloi apabila produk mereka mula mendapat tempat di sekitar Johor.

Pasangan suami isteri yang merupakan pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) pertama di Kampung Panti, Kota Tinggi itu memulakan perniagaan dengan modal RM1,000.

Menurut Kamariah yang bertindak sebagai Pengurus O’ Rika Enterprise, mereka mengambil cabaran dengan menceburi PKS kerana melihat potensinya yang luas.

“Sebelum ini kami hanya mengambil bekalan daripada orang lain dan menjualnya. Namun, setelah beberapa tahun mempelajari selok-belok perniagaan, kami mula menghasilkan produk sendiri iaitu kuih karas dan dadih.

“Pada mulanya, semua produk dihasilkan menggunakan cara tradisional. Apabila perniagaan semakin berkembang, kami membeli mesin pencetak kuih karas dan ketuhar pembakar dengan kos RM5,000,” katanya yang sudah lima tahun bergiat secara serius dalam perniagaan.

Sementara itu, Misran berkata, produk kuih karas iaitu Karisma Crunch yang dihasilkan tampil dengan kelainan kerana berperisa.

“Karisma Crunch dibuat menggunakan resipi yang diubahsuai dan pelanggan boleh memilih berperisa jagung dan strawberi yang berwarna kuning dan merah.

“Selain itu, kami juga menjual kuih karas biasa berwarna coklat. Karisma Crunch dijual RM2 sepaket dan anggaran jualan untuk sebulan mampu mencecah 2,000,” katanya.

Manakala, untuk dadih pula mereka menawarkan enam perisa.

“Antaranya ialah perisa baru seperti kundur yang mendapat permintaan tinggi, selain dadih perisa coklat, jagung, strawberi, jagung, keladi dan tembikai susu.

“Produk dadih kami yang dijual RM1 kebiasaannya mencapai penjualan sehingga 500 dadih seminggu,” katanya.

Misran berkata, mereka merancang membeli beberapa mesin tambahan bagi memudahkan pembuatan produk dan seterusnya menampung permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

“Mesin tersebut ialah mesin pengira, mesin pengering dan paip air anti kuman yang membolehkan produk terhasil semakin berkualiti.

“Perancangan ini juga adalah selaras dengan pembukaan ruang pameran sejak Julai lalu yang mempamerkan semua produk,” katanya.

1 comment:

  1. Ini satu info yang menarik untuk dikonsi daripada tengok isteri orang main dgn jantan lain kena pukul baik baca berita mcm ni ada jgk semangat nak menjadi usahawan berjaya

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: