KEADAAN yang sesak, padat dan riuh rendah di pentas utama pusat beli-belah Sungei Wang Plaza Kuala Lumpur, minggu lalu bukanlah kerana aktiviti beli-belah hujung minggunya. Sebaliknya, orang ramai begitu teruja untuk menyaksikan sembilan buah pasukan sorak menunjukkan aksi yang mendebarkan.
Menariknya, kumpulan sorak terbabit menyelitkan elemen Krismas sempena Krismas yang berlangsung Sabtu lalu.
Jangkaan penonton untuk kumpulan sorak yang bertanding sudah pastinya tinggi. Rutin dan koreografi yang hebat, semangat berpasukan, kecekapan membuat susunan piramid manusia dan lambungan ahli kumpulan yang paling ringan ditunggu-tunggu.
Justeru, tidak hairanlah kumpulan sorak Jags berjaya merebut hadiah utama pertandingan itu. Tanpa pendedahan markah oleh pengadil sekali pun, kumpulan tersebut berjaya meraih sorakan paling gamat daripada pengunjung yang hadir.
Jags berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dalam pertandingan Cheer4Christmas itu. Kapten pasukannya, Mohd. Farid Nawali, 18 memberitahu, kumpulannya banyak menyertai pertandingan dan memenangi hampir kesemuanya.
“Untuk pertandingan kali ini, kumpulan kami dianggotai oleh sembilan ahli sorak dari Cochrane, Cheras. Kumpulan kami banyak dipengaruhi tarian rutin dari Amerika Syarikat (AS) seperti Top Gun dan Cheer Athletes,” jelas beliau.
Kumpulan sorak yang dianggotai lapan ahli kumpulan dan mendapat tempat kedua ialah The Rebel, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Muriel 1 yang dianggotai seramai sepuluh ahli kumpulan.Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000.
|
|
Kumpulan lain yang mengambil bahagian ialah Muriel 2 (sepuluh peserta), Starlites (sepuluh peserta), Xylurf (sepuluh peserta), Zenith (sepuluh peserta), Rebel 2 (lapan peserta) dan Star Jump (enam peserta).
Farid memberitahu, kumpulannya pernah memasuki banyak pertandingan kumpulan sorak dan telah memenangi kejuaraan sebanyak enam kali.
“Kami memberi komitmen yang tinggi terutama pada bulan terakhir sebelum pertandingan. Latihan dilakukan di antara tiga hingga empat jam sehari bagi memastikan rutin dan aksi yang dilakukan kemas dan tepat,” katanya.
Menurut Farid, hadiah kemenangan bukanlah tujuan utama kumpulannya bersungguh-sungguh di dalam pertandingan itu. Wang yang dimenangi akan digunakan untuk membeli peralatan sekolah para peserta selain digunakan untuk aktiviti kumpulan.
“Umur ahli kumpulan kami di antara 12 hingga 27 tahun. Bermakna masih ada yang bersekolah. Selain untuk kegunaan kumpulan kami sendiri, pelajar yang lain juga dapat memanfaatkan peralatan yang bakal kami beli,” katanya.
Mengenai kehebatan mereka menewaskan lapan kumpulan lain, Farid memberitahu, walaupun mereka pernah memenangi banyak pertandingan, mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi pada pertandingan Cheer4Christmas.
“Pertandingan kali ini banyak disertai kumpulan sorak yang merupakan saingan terdekat kumpulan kami dan tampil dengan persembahan yang tidak kurang hebatnya. Tetapi kami gembira dipilih sebagai pemenang.
“Kemenangan hari ini adalah tuah buat kami,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Perhubungan Awam Sungei Wang Plaza, K. K. Lim memberitahu, kumpulan Jags memenuhi kriteria pasukan juara apabila menampilkan persembahan yang bertenaga dan menyerap elemen Krismas yang ditetapkan.
Aksi stunt
“Persembahan sorak bukanlah semudah yang disangkakan. Mereka perlu tampil dengan aksi stunt yang meyakinkan juri dan penonton selain menampilkan semangat berkumpulan yang tinggi.
“Kebanyakan kumpulan lain yang gagal adalah kerana mereka kekurangan aksi stunt yang menarik atau gagal melakukannya dengan baik,” jelas beliau.
Mahupun begitu, K. K. Lim berkata, beliau kagum dengan semangat peserta yang mengambil bahagian walaupun ada di kalangan mereka mendapat markah yang rendah pada pusingan pertama. Pusingan pertama berlangsung seminggu sebelumnya.
“Kesungguhan para peserta dapat dilihat pada koreografi yang disusun, lagu-lagu rancak termasuk lagu-lagu perayaan Krismas yang dipilih dan kostum yang menarik termasuk beberapa peralatan lain.
“Ini membuktikan pertandingan seumpamanya merupakan aktiviti yang sihat dan dapat mengelakkan generasi muda menyertai pelbagai aktiviti di luar sekolah dan mengelakkan aktiviti tidak sihat,” katanya.
Katanya, pertandingan itu julung-julung kalinya dianjurkan Sungei Wang Plaza bagi menyambut Krismas dengan cara yang unik dan menghiburkan bersama pasukan sorak dari dalam negara.
“Setiap tahun kami tampil dengan pelbagai aktiviti menarik bagi merayakan Krismas dan tahun ini Cheer4Christmas menjadi salah satu acara yang paling mendapat sambutan,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: