Tuesday, December 28, 2010

Stimbot halal The Junction Bistro


HIDANGAN pencuci mulut yang menyelerakan.


ISU mendapat sijil halal bagi mereka yang menjalankan perniagaan makanan semakin mendapat perhatian masyarakat. Di kalangan pengguna beragama Islam, mereka kini lebih berhati-hati jika ingin menjamu selera di luar.

Logo dan sijil halal akan dipastikan terlebih dahulu sebelum melangkah masuk ke dalam sesuatu premis gastronomi.

Menyedari hakikat itu, pihak pengurusan Seri Cempaka Service Suite yang beroperasi di Jalan Pudu Ulu, Cheras Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan untuk berbuat demikian.

Perkara itu dilakukan rentetan laporan akhbar Kosmo! mengenai Restoran The Junction Bistro di hotel tersebut yang didapati menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kebenaran dalam satu operasi pada September lalu.

Ternyata, laporan itu ‘membuka mata’ pengurusan hotel berkenaan terhadap kepentingan memiliki sijil halal demi menghormati pelanggan mereka yang terdiri daripada masyarakat Islam.

Selepas beberapa bulan melalui prosedur ketat, restoran tersebut berjaya mendapat sijil pengesahan halal daripada Jakim.

Menurut Pengurus Besar Seri Cempaka Service Suite, Christopher E. Ruxton, pihaknya mengakui kesilapan di pihak mereka kerana bersikap sambil lewa terhadap pemilikan sijil halal di Restoran The Junction Bistro.

Justeru, bagi mengembalikan kepercayaan pengguna mereka berusaha untuk mendapatkan sijil halal tersebut meskipun berdepan pelbagai cabaran terutama prosedur yang sangat ketat. Ini termasuklah memastikan pembekal mereka juga mempunyai sijil halal.

“Kini saya ingin mengumumkan bahawa premis makanan kami memiliki sijil halal dan berharap pelanggan terutama yang beragama Islam tidak lagi ragu-ragu untuk menjamu selera di sini,” kata Christopher.

Sempena majlis penyerahan sijil halal itu, The Junction Bistro turut mengadakan pelancaran sajian stimbot dim sum halal yang mampu menepati selera pelanggan.

Pengurus Makanan dan Minuman Seri Cempaka Service Suites, Mohd. Nor Yacob memberitahu, menu dim sum yang dipercayai berasal dari Kun Ming, China itu telah digabung dan diubah suai mengikut cita rasa tempatan.


PEMANGKU Pengurus Operasi Seri Cempaka Suite, George Teo (empat dari kiri) bersama Christoper (dua dari kanan) pada majlis penyerahan sijil halal baru-baru ini.


Bahan-bahan halal

“Produk yang pada asalnya dihasilkan daripada bahan yang tidak halal diubah kepada bahan-bahan yang halal sesuai dengan penerimaan masyarakat yang prihatin tentang produk halal.

“Untuk menambahkan kelazatan, kami telah mencipta sos pedas istimewa. Ia turut dihidang bersama semangkuk sup panas,” jelasnya.

Menu stimbot dim sum itu dihidangkan sepanjang hari bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 11 malam. Pelanggan juga diberi pilihan menggunakan dapur gas atau arang bagi setiap hidangan.

Antara set yang ditawarkan termasuklah ladu cendawan, bebola ikan, udang siew mai, ayam siew mai, ladu pak choy, ladu teo chew, sayuran tong hor dan bihun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: