KOTA BHARU - Sebuah keluarga di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini dihantui dengan 'serangan' api misteri sejak empat hari lalu.
Lebih menyeramkan, gangguan tersebut bukan setakat kemunculan api tetapi keluarga terbabit turut menghadapi beberapa lagi gangguan aneh lain.
Antara kejadian aneh itu ialah duit hilang tetapi dipulangkan semula, tilam dipenuhi telur pecah dan hirisan bawang goreng bertaburan serta tong beras dituang sirap dan budu.
Penghuni rumah itu, Zainab Sulaiman, 73, memberitahu, beliau tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu tetapi api misteri tersebut hanya muncul sejak Isnin lalu dan telah membakar lebih seratus pasang baju miliknya serta menantu dan cucu beliau selain beberapa dua buah tilam dan langsir juga turut terbakar secara tiba-tiba.
"Kira-kira pukul 11 pagi tiga hari lalu, saya terbau hangit seperti ada benda terbakar dan sebaik memasuki bilik, saya terkejut apabila bilik tersebut berasap dan beberapa pakaian di dalam almari terbakar sebelum mengeluarkannya dan memadamkan api.
"Sejak dari itu api tersebut banyak kali muncul dan membakar pakaian termasuklah hari ini (semalam) sahaja, sudah lebih lima kali ia muncul dan kami terpaksa berjaga-jaga sehingga tidak tidur pada waktu malam kerana bimbang berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: