
Tiada kata selindung, dengan wajah terpancar bunga-bunga cinta, Sabrina mengaku hatinya kini diisi kembali dengan seorang jejaka yang disifatkan mempunyai keserasian yang kuat.
Menariknya lelaki yang setia menemaninya semasa pratonton Khurafat di Mid Valley baru-baru ini masih bujang dan kacak. Malah jejak yang dikenali sebagai Amir, 28, adalah seorang ahli perniagaan.
“Kami baru berkenalan sekitar enam bulan lalu. Kebetulan kami berjumpa dalam satu majlis hari jadi rakan saya. Dari situlah kami mula berkawan dan mengenali hati budi masing-masing sehinggalah hubungan kami menjadi semakin serius.
“Saya suka bila lihat cara dia berkomunikasi dengan orang terutama bila bersama saya dan kami mudah serasi dari banyak segi dan sudut dan dia juga sangat memahami,” kata Sabrina kepada Sinar Harian.
Jelas Sabrina, hubungannya bersama Amir kini atas dasar komitmen untuk berpasangan, dan bukannya sekadar mengisi kekosongan. Malah kesediaan Amir menerima anaknya, Ariyana membuatkan dia senang dengan lelaki itu.
“Saya tidak main-main. Kalau saya keluar dengan lelaki itu, memang saya serius untuk bersamanya. Saya bukannya jenis yang akan keluar dengan semua lelaki.
“Biarpun hubungan kami boleh dikatakan masih terlalu awal, saya akui kini serius dengannya dan insya-Allah kami sudah terfikir untuk bernikah pada tahun hadapan. Cuma bila tarikhnya itu tidak dapat kami pastikan lagi dan akan kami beritahu kemudian.
“Harapan saya sangat tinggi untuk perkahwinan kedua ini dan saya sangat takut serta berhati-hati sebelum mengambil keputusan kali ini. Lagipun dia juga masih bujang dan mungkin agak kurang faham mengenai hal berumah tangga ini,” katanya yang menampilkan lakonan hebat di dalam filem Khurafat.
Sementara itu, Amir pula ketika ditemui hanya tersenyum tatkala ditebak pelbagai soalan berkaitan hubungan intimnya bersama pelakon jelita ini. Kata jejaka kacak yang juga bekas model ini, Sabrina menunjukkan dirinya yang sebenar sepanjang perkenalan mereka.
“Sporting, jujur dan tak hipokrit, itulah Sabrina. Saya sukakannya begitu. Saya akui sudah bersedia untuk mengambilnya sebagai isteri dan saya tak pernah kisah mengenai statusnya. Mungkin kami akan mengadakan majlis nikah terus tanpa mengikat tali pertunangan terlebih dahulu,” tutur anak kelahiran Pahang ini.
Hasil perkahwinan Sabrina dan Shahrin sebelum ini mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan, Ariyana yang kini berusia 2 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: