Friday, December 10, 2010

Risiko makanan kucing import

DALAM memastikan haiwan peliharaan terutama kucing kekal sihat, faktor utama yang perlu diberi perhatian ialah makanan.

Namun ramai penggemar kucing yang mengambil mudah perkara ini.

Ada yang sekadar memberikan lebihan makanan atau lauk pauk atau pun memberikan kucing mereka makanan mentah seperti ikan dan daging.

Ada pula yang terlalu cintakan kucing sehingga sanggup menyediakan segala-galanya yang terbaik untuk haiwan kesayangan mereka itu.

Dalam perkara ini, makanan kucing yang berkualiti sememangnya merupakan bab yang tidak dapat ditinggalkan.

Sebab itu ramai penggemar kucing sanggup berbelanja lebih untuk menyediakan makanan terbaik kepada kucing.

Tidak kurang juga terdapat golongan yang terlalu mengagung-agungkan makanan yang diimport dari negara-negara Barat, terutamanya dari Eropah dan Amerika Syarikat kerana beranggapan bahan dari rantau itu adalah terbaik.

Namun, tahukah anda bahawa penggunaan makanan kucing dari Eropah mungkin membawa kesan tidak baik kepada kucing sehingga menimbulkan masalah kegatalan dan keguguran bulu?

Ketua Pembangunan Perniagaan produk Vita Cat, Halim Baba berkata, ini berikutan makanan kucing dari Eropah direka khas untuk memenuhi kucing yang hidup dalam negara cuaca sejuk dan ia tidak sesuai untuk kucing yang berada di negara musim tropikal.

"Makanan kucing dari Eropah biasanya mengandungi protein yang lebih tinggi sesuai dengan keadaaan iklim yang lebih sejuk.

"Kandungan protein yang terlalu tinggi bagaimanapun tidak baik kepada kucing di Malaysia, ia boleh menyebabkan kegatalan pada kucing," katanya.

Beliau berkata, sebelum membeli, pemilik kucing perlu menilai kandungan zat makanan kucing serta mengenal pasti bahan yang digunakan untuk menghasilkan makanan kucing itu.

"Penggunaan bahan sampingan dan perasa dalam makanan kucing umpamanya melibatkan penggunaan garam yang banyak dan ia tidak baik kepada kesihatan kucing.

"Garam yang banyak menyebabkan kucing mengalami kerosakan buah pinggang dan sukar membuang air, akibatnya kucing itu akan mati atau terpaksa menjalani pembedahan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: