Thursday, December 30, 2010

Pembuka Tirai Astro Oasis 2011


IZELAN (tengah) bersama Imam Muda Taufek (kanan) dan Rini AF.


ASTRO Oasis membuka tirai 2011 dengan memperkenalkan sebuah program kuiz kekeluargaan Islam berjudul Famili Sarjana bermula 1 Januari nanti pukul 7.30 malam.

Program 13 episod itu merupakan program berbentuk kuiz pertama berperanan memperkasakan institusi kekeluargaan Islam yang akan dikendalikan oleh dua pengacara baru iaitu Rini AF dan peserta Imam Muda, Mohd. Taufek Mohd. Noh.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, program ini membawa pendekatan berlainan berbanding program sedia ada.

Ini kerana ia akan membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam.

“Ia bukan bertujuan untuk mengaibkan peserta yang tidak dapat menjawab tetapi berkongsi ilmu agama yang selama ini ada yang tidak memandang berat tentang perkara tersebut,” jelasnya.

Famili Saujana juga merupakan rancangan kuiz yang menyaksikan dua buah keluarga bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat.

Hadiah utama bagi pemenang ialah pakej umrah ke Tanah Suci dengan tajaan penuh disediakan seisi keluarga.

Menurutnya lagi, pemilihan kedua-dua pengacara ini adalah berdasarkan kelebihan kedua-dua selebriti yang menjadi ikon kepada masyarakat.

“Kita lihat keserasian antara Mohd. Taufek dan Rini, mampu menarik penonton untuk menonton rancangan ini memandangkan kedua-dua selebriti ini mempunyai pengikut tersendiri yang mana mampu menarik golongan muda untuk menonton rancangan berbentuk keagamaan ini,” katanya.

Program ini memerlukan kerjasama atau gabungan tiga orang ahli keluarga terdekat seperti ibu, bapa dan anak dan setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir.

Dua buah keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum sebuah keluarga dinobatkan sebagai Famili Sarjana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: