Thursday, December 30, 2010

Warisan purba diancam pemanasan


MUMIA seorang lelaki yang ditemui di Apls pada tahun 1991 ini berusia 5,300 tahun.


MUMIA mula mereput di Siberia, piramid lenyap dari muka bumi di bawah timbunan pasir Sudan malah kuil-kuil Maya yang gagah berdiri mulai runtuh.

Senario tersebut telah membuatkan ahli arkeologi memberi peringatan bahawa perubahan iklim dunia bakal memberi impak dalam memusnahkan khazanah masa lampau.

Apabila ais cair, ia boleh membuka rahsia purbakala yang tersimpan rapi di dalam tanah seperti penemuan Oetzi pada tahun 1991. Oetzi merupakan pahlawan berusia 5,300 tahun yang jasadnya ditemui di dalam sebuah glasier Alpine wilayah Tyrol, Itali.

Henri-Paul Francfort dari Institut Penyelidik CNRS, Perancis melahirkan kebimbangan terhadap kesan pemanasan global terhadap warisan dunia.


SEKUMPULAN mangsa banjir di Dhaka, Bangladesh terpaksa mengharungi banjir ketika mencari tanah tinggi bagi menyelamatkan diri.


Beliau merupakan ketua penyelidik arkeologi Perancis di Asia Tengah yang memainkan peranan penting dalam penggalian Kurgan atau makam puak nomad Scythian di pergunungan Altai, Siberia.

Ibun abadi yang merupakan lapisan beku bumi memelihara warisan dunia sehingga hari ini mula menunjukkan tanda-tanda ia cair.

"Ada yang dimumiakan, cacah badan, ditanam bersama kuda, bulu, objek kayu dan pakaian.

"Bersama rakan-rakan sekerja Rusia saya, kami memerhatikan sebahagian daripada tanah cair setiap musim, malah semakin dalam saban musim. Tindakan segera untuk mencegahnya perlu dilakukan sebelum terlambat," ujarnya.

Menurut Francfort, jasad Oetzi ditemui disebabkan altitud glasier semakin menurun di wilayah Tyrol, Itali.

"Glasier kian cair terutamanya di Norway akan membongkar beberapa khazanah lain," katanya.


PEMANDANGAN yang jarang dilihat apabila bongkah ais berada di tengah lautan Sandy Bay, Tasmania, Australia.


Pakar-pakar memberi peringatan peningkatan paras lautan mungkin akan melonjak sehingga satu meter menjelang tahun 2100 mengikut beberapa ramalan sekali gus memusnahkan berdozen tapak arkeologi pantai termasuk kepulauan Pasifik.

Di Tanzania, hakisan maritim telah memusnahkan satu dinding kubu Kilwa yang dibina penjajah Portugis di sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari pantai pada tahun 1505, kata Francfort.

Dalam pada itu, kota Panam di Sonargaon, Bangladesh juga merupakan jantung negeri Benggala dari kurun ke-15 hingga ke-19 turut musnah akibat sering dilanda banjir.

Panam sebelum ini disenaraikan Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu daripada 100 lokasi diancam oleh iklim perubahan.

Ramalan peristiwa-peristiwa melibatkan cuaca yang tidak dapat dijangka terutamanya taufan juga amat membimbangkan, kata pakar arkeologi Amerika di CNRS, Dominique Michelet.


HUJAN lebat dan ribut Ike yang melanda Key West, Florida, Amerika Syarikat membataskan pergerakan para penduduk di luar rumah.


Dia berkata, kes Chan Chan di Peru yang merupakan bekas ibu negara tamadun Chimu dan prabandar terbesar Colombia di Amerika Latin terdedah kepada banjir yang berkait rapat dengan corak cuaca El Nino.

Sebahagian besar kuil Maya Tabasqueno di Mexico juga perlu dibina semula selepas ia mengalami kerosakan teruk akibat dipukul dua puting beliung pada tahun 1995 iaitu Opalo dan Roxana.

"Ahli arkeologi telah berjaya mengukuhkan kuil utama, tetapi bangunan-bangunan tidak dapat menampung air dan roboh," kata Michelet.

Selain itu, pasir juga merupakan musuh tapak arkeologi seperti di Sudan apabila gumuk merupakan punca kawasan piramid Meroe semakin lenyap.

Setakat ini usaha UNESCO mengenal pasti tapak arkeologi berbahaya tidak ke mana dan dunia perlu mempunyai kesedaran mengenai ancaman ini, tegas Michelet.

"Arkeologi merupakan sebahagian sejarah manusia," kata Francfort yang mencadangkan penyelesaian radikal perlu diambil untuk memelihara khazanah masa lampau daripada perubahan iklim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: