MENJADIKAN bidang perniagaan dalam talian (online) sebagai pendapatan sampingan, pengasas kedai hadiah online, Ayu Fatarina Md Taha, 30, mensasarkan jualan RM2,000 sebulan tahun depan berbanding RM1,500 sebulan tahun ini.
Menurutnya, sasaran itu didorong perancangan untuk menambah lebih banyak pilihan hadiah kepada pelanggan.
“Saya berhasrat mempelbagaikan pilihan hadiah seperti makanan; cupcakes dan coklat pada awal Februari tahun depan.
“Selain itu, saya juga akan menambah lebih banyak hadiah untuk lelaki memandangkan sekarang ini barangan hadiah lebih kepada perempuan saja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ayu Fatarina berkata, walaupun baru dibuka pada awal 2010, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
Setakat ini kata beliau, barangan yang dijual di kedai online itu ialah alat solek, jersi, tupperware, kotak alat solek, anak patung beruang, minyak wangi dan kosmetik.
“Baru-baru ini, saya memperkenalkan minyak wangi, Harajuku untuk perempuan dan sambutan yang diberikan sangatlah menggalakkan.
“Sejak sebulan dipamerkan, saya berjaya menjual 10 botol minyak wangi dan menjangkakan ianya akan meningkat,” katanya.
Pegawai undang-undang ini memberitahu, selain mempamerkan hadiah untuk dipilih pelanggan, beliau juga menyediakan perkhidmatan membalut hadiah serta dengan riben dan kad kecil.
“Saya pasti ramai dalam kalangan lelaki yang tidak mahir membalut hadiah. Justeru itu, kedai ini menyediakan perkhidmatan membalut percuma untuk mereka sebelum dikirimkan kepada orang tersayang,” katanya.
9/10 pintu rezeki adalah dari perniagaan
ReplyDelete