Tuesday, December 28, 2010
‘Damping Malam’ nyawa jadi taruhan!
Pada zaman yang serba moden ini, masih ada selintir manusia yang mempercayai amalan syirik, mendampingi jin dan syaitan untuk perlindungan. Mereka tidak tahu dengan perbuatan itu, nyawa anggota keluarga mereka akan menjadi taruhan.
Inilah yang berlaku ke atas drama seram terbitan Metrowealth (MIG), Damping Malam, yang pastinya akan memberikan pengajaran berguna buat masyarakat di luar sana agar tidak menyekutukan Tuhan.
Damping Malam, mengisahkan tentang keluarga usahawan berjaya, Wadi (Ahmad Idham) yang sering diganggu perkara mistik sejak anak mereka, Nuraiza ( Erynne Erynna) dihantar ke sekolah asrama penuh.
Isterinya, Ku Khalira (Amy Mastura) menjadi tidak senang duduk dan selalu memikirkan keselamatan anaknya yang sering diganggu makluk halus di asrama itu. Dia sering merayu kepada suaminya, agar membawa Nuraiza pulang ke rumah.
Wadi yang sentiasa sibuk dengan urusan perniagaannya, tidak mempedulikan Ku Khalira. Malah dia juga tidak mempercayai perkara mistik yang menghantui anaknya.
Sehinggalah keadaan menjadi lebih parah dan salah seorang di antara mereka akan menjadi korban.
Filem yang bakal ditayangkan dipawagam pada 30 Disember ini, turut dibintangi, Azizah Mahzan, Eizlan Yusuf, Roslan Saleh, Siti Mardiana dan ramai lagi.
Menerusi Damping Malam, Idham buat kali pertamanya, membintangi filem arahan sendiri selepas filem Anakku Sazali, pada 13 tahun dulu. Dapat bergandingan dengan heroin seangkatannya, Amy Mastura, inilah satu kepuasan untuk Idham melepaskan rasa ‘gian’ beraksi di layar perak.
Namun tugas sebagai pengarah dan pelakon dalam satu masa yang sama bukanlah satu perkara yang mudah. Bagaimanapun, semangat kerja dan komitmen yang menyeluruh dari pelakon dan seluruh tenaga kerja membuatkan filem ini mudah diilhamkan.
“Saya lagi yakin bila berlakon filem sendiri kerana saya tahu apa yang saya inginkan. Lagipun inilah kombinasi pertama yang membabitkan antara saya, Amy dan Eizlan,” jelas Idham ketika pra tonton filem ini.
Berbeza dengan filem seram arahannya sebelum ini, Idham berkata, kekuatan Damping Malam, terletak pada jalan ceritanya yang mana ia mampu berdiri tanpa unsur seram yang keterlaluan.
Lebih penting, sekiranya penonton dapat hayati mesej dan pengajaran sebenar yang dipaparkan menerusi jalan cerita yang dipaparkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: