Friday, December 10, 2010

Berjaya hayati watak lakonan


sEBAHAGIAN daripada pelakon pementasan teater Xtra 1: the musical, living forest.


SEBAIK sahaja anak-anak ini melangkah ke pentas untuk melakonkan watak-watak yang diberikan, tumpuan pastilah terpaku dengan setiap persembahan yang diberikan mereka.

Dalam kegiatan seni, teater untuk kanak-kanak memang telah lama sebati dengan kita semua. Namun kali ini ternyata berbeza. Teater yang dipersembahkan diterajui oleh anak-anak istimewa.

Kali ini anak-anak sindrom down diberi kepercayaan mengikuti segala latihan yang diberikan dengan penuh perasaan.

Penghayatan lakonan yang diberikan kepada mereka tidak dipersia-siakan.

Satu pementasan teater bertajuk Xtra 1: The Musical Living Forest, merupakan projek kebajikan yang memperkenalkan anak-anak sindrom down ke dunia pementasan teater.

Satu pujian harus diberikan kepada pengarah muda dan penerbit yang mencetuskan idea untuk pementasan itu, Nawfal M. Zamri, 23, graduan Aswara dalam bidang pengarahan dari Fakulti Teater.

Dia yang kerap mengarahkan teater untuk kanak-kanak cuba mencungkil bakat anak-anak istimewa untuk persembahannya kali ini.

Siapa sangka anak-anak itu boleh diketengahkan ke dunia lakonan teater.

Biarpun berhadapan sedikit sebanyak kerenah sepanjang pengarahan teater itu, namun itu semua bukan satu halangan yang besar bagi diri Nawfal.

Menurut Nawfal, semangatnya untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dalam bidang pengarahan teater menjadikan dia begitu komited dengan pementasan kali ini.

''Apabila saya melihat satu dokumentari luar mengenai pementasan teater yang dilakukan oleh anak-anak autisme, saya bercadang untuk membuat sesuatu bagi anak-anak istimewa di negara ini.

''Saya rasa setiap anak-anak ini mempunyai kelebihan dan kebolehan mereka yang tersendiri. Itu yang cuba saya tampilkan dan ternyata sangkaan saya tidak meleset.

''Saya bermula dengan anak-anak sindrom down ini. Pada permulaan saya mencadangkan kepada pihak Persatuan Sindrom Down Malaysia. Penerimaan mereka atas cadangan saya amat baik,'' katanya.

Biarpun pada ketika itu belum ada perancangan skrip dan pengolahan yang sesuai namun Nawfal terus mencuba.

Justeru bermula dari situ pelbagai bengkel diaturkan dari bulan April dan pada bulan Julai latihan demi latihan telah diadakan dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua ibu bapa dan kaum keluarga yang terlibat.

Kata Nawfal, jalan cerita teater ini berkisar antara kitaran hidupan pokok-pokok dan kehijauan yang diadaptasi dari salah sebuah skrip kanak-kanak yang menyeronokkan.

Seramai 32 pelakon terlibat dalam pementasan ini dengan 14 orang daripadanya adalah anak-anak sindrom down yang berusia antara enam hingga 24 tahun.

Manakala selebihnya watak didokong oleh para ahli keluarga anak-anak sindrom down, pensyarah dan para pelajar Aswara.

Mengulas lanjut mengenai penerimaan anak-anak sindrom down mengenai teater, dia mendapati anak-anak ini begitu komited dan sangat teruja dengan perkembangan bidang yang dilakukan untuk diri mereka.

''Pengalaman ini adalah sesuatu yang baru, nampaknya mereka bersedia untuk melakukannya dan sangat berjaya.

''Mungkin orang kata sukar untuk mengarahkan anak-anak sindrom down. Namun sebenarnya itu tidaklah sesukar mana,'' katanya.

Sepanjang dirinya mengarahkan teater itu Nawfal memberitahu, anak-anak ini mendengar kata namun tidak boleh terlalu lama kerana ada di antaranya yang tidak boleh duduk diam.

''Kita juga ada meminta pandangan ibu bapa mengenai keadaan anak-anak mereka kerana ada di antaranya yang tidak boleh mendengar muzik yang terlalu kuat dan tidak boleh terlalu penat,'' jelasnya.

Nawfal memberitahu, ada juga yang tiba-tiba membuat perangai dengan jatuh di atas pentas tanpa mengikut skrip dan enggan berdiri tegak dan tidak fokus.

Namun lama-kelamaan semua itu boleh dihadapi. Asalkan anak-anak itu berasa gembira dengan apa yang dilakukan semuanya akan berada dalam keadaan gembira, jelas Nawfal membayangkan keadaan anak-anak itu ketika berlatih teater.

''Apa pun saya mengharapkan orang ramai akan datang untuk menonton persembahan pementasan yang dilakukan oleh anak-anak istimewa ini.

''Sokongan daripada orang ramai sebenarnya memberikan satu 'kemenangan' kepada anak-anak ini yang berbakat besar,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: