TIDAK sah dunia glamor hiburan jika tiada elemen sensasi dan kontroversi. Tahun 2010 yang sudah sampai ke penghujungnya juga tiada pengecualian.
Sepanjang tempoh 365 hari tahun 2010 ini, sebilangan figura daripada kalangan karyawan hiburan tanah air muncul dengan tagline ‘sensasi dan kontroversi’.
Bukan hanya tercetus isu berebut cinta, bercerai-berai tetapi melarat kepada saman menyaman, terbabit dengan foto tidak senonoh di Internet, ditahan di penjara, malah ada yang mendakwa menjadi mangsa konspirasi.
Tirai kontroversi 2010 dibuka dengan kisah pasangan selebriti yang pernah mengakui mereka sekadar ‘teman tapi mesra’, Linda Onn dan Fahrin Ahmad yang kemudian mencetuskan episod ‘drama’ saman menyaman selepas hubungan mereka berakhir.
Selepas itu, umum dikejutkan dengan kisah Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi yang turut terkena tempias apabila dikatakan berkahwin kali kedua dengan seorang gadis dari Temerloh, Pahang.
Begitu juga dengan pelakon terkenal, Erra Fazira yang tidak terkecuali digosipkan dengan kes cerai.
|
|
Beberapa karyawan hiburan tanah air turut dirundung malang apabila terpaksa meringkuk dalam penjara termasuklah anak aktres Azean Irdawaty iaitu Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, vokalis kumpulan XPDC, Mael, aktor Badrul Muhayat, pelakon komedi popular Saiful Apek dan paling mengejutkan ialah penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Kosmo! paparkan sorotan figura dunia hiburan tempatan paling sensasi dan kontroversi sepanjang 2010.
Fahrin saman Linda Onn
PADA tarikh 23 Januari 2010, dunia hiburan tempatan kecoh apabila pelakon kacak berusia 31 tahun, Fahrin Ahmad nekad mahu menyaman bekas teman wanitanya, penyampai radio Linda Onn atas dakwaan memburukkan namanya dengan menuduh dirinya seorang lelaki kaki pukul.
Fahrin mendakwa, dia sangat kecewa apabila Linda, 33, membuat kenyataan bahawa dirinya panas baran dan cepat naik tangan sehingga memberi kesan buruk terhadap kerjayanya sebagai seorang pelakon dan duta produk.
Menurut Fahrin, situasi lebih memburukkan keadaan apabila Linda juga bersekongkol dengan pelakon Scha Al-Yahya yang juga pernah rapat dengan Fahrin untuk menabur fitnah ke atas dirinya.
Fahrin kemudian menarik kembali ugutan saman tersebut dan mahu menyelesaikannya di luar mahkamah selepas mendapat nasihat daripada Presiden Seniman, Harun Salim Bachik.
|
|
‘Drama’ Benjy ditahan polis
MENJADI sebuah kisah sensasi yang cukup mengejutkan apabila pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang merupakan anak kepada seniwati Azean Irdawaty ditahan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada 12 Mac 2010.
Pelakon berkenaan bersama teman wanitanya ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan sejumlah dadah di sebuah kondominium. Polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 di kondominium tersebut.
‘Drama’ berlaku apabila Benjy yang dibebaskan secara jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 8 April 2010 ditahan semula lima minit sejurus pembayaran tersebut dilakukan.
Kali ini Benjy ditahan atas tuduhan memiliki syabu jenis metafetamin seberat 0.24 gram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di APM, A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Persimpangan Jalan Segambut.
Kini Benjy ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor selama dua tahun setelah Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pelakon tersebut ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.
|
|
Kecoh keputusan Festival Filem Malaysia ke-23
FESTIVAL Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) yang berlangsung pada 25 Oktober 2010 lalu membawa tuah kepada dua buah filem iaitu Magika yang meraih anugerah Filem Terbaik serta Syamsul Yusof,26, yang merangkul anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Evolusi KL Drift 2.
Namun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan mengkritik keputusan malam tersebut. Paling lantang bersuara adalah pengarah Mamat Khalid kerana filemnya, Estet yang dijangka menang akhirnya tumpas kepada filem Magika arahan Edry Abdul Halim.
Lebih hangat lagi apabila Mamat juga mengancam untuk tidak lagi menyertai festival yang sama pada masa akan datang. Ujarnya, dia hanya akan menghantar penyertaan sekiranya panel juri diumumkan terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: