Tuesday, December 28, 2010

Ilusi tiga ahli silap mata




GHAIB setelah masuk ke dalam kotak kecil yang ditusuk pedang-pedang tajam, muncul bersama persalinan pelbagai warna, terapung tinggi di udara dan menukarkan kertas menjadi rama-rama. Gimik itu cuma secalit daripada persembahan Charles Bach yang memukau ribuan pasang mata yang menyaksikannya.

Ada antara penonton yang terpegun sehingga tidak henti-henti menepuk tangan. Malah ada juga yang berdiri sambil menepuk tangan sebagai tanda penghargaan.

Bagi ahli silap mata dari Amerika Syarikat (AS) itu semua sorakan atau hilai tawa penonton adalah pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik dan berbeza setiap kali beliau muncul di khalayak.

Membuka persembahan dengan tarian sejuta warna hasil koreografi Roman Luki pada awal pertunjukan, Bach kemudian mengejutkan pengunjung dengan kemunculannya dari sebuah kotak kekunci di tengah-tengah pentas.

Menjamu penonton dengan variasi helah magisnya seperti realisasi lakaran daun terup, tusukan pedang silap mata excalibur, ilusi magis 4D pertama di dunia dan aksi melepaskan diri daripada belenggu jaket lurus, Bach menggamatkan panggung dengan lawak bersahajanya.

Menggabungkan silap mata, tarian, komedi dan ilusi dalam setiap persembahan, Bach sempat berkongsi asam garam dunia silap mata yang dipelajarinya sejak umurnya lapan tahun.

Menurut Bach, pelajaran sulungnya dalam dunia penuh misteri itu bertitik tolak daripada bapa saudaranya menerusi helah-helah daun terup.

Sejak itu, beliau mula menggemari alam magikal dan terus mengasah bakatnya sehingga meraih pelbagai anugerah sepanjang kariernya bergelar ahli silap mata.


LEGENDA kisah pedang ajaib excalibur menghiasi sebahagian daripada pertunjukan magis Bach.


“Kebanyakan barang-barang untuk persembahan saya di pentas adalah hasil rekaan sendiri. Ia bermula selepas tercetusnya imaginasi yang mustahil dan pelik ketika waktu senggang,” ujar ahli silap mata yang berumur 40 tahun itu.

Tambah figura yang turut mendapat ilham daripada lukisan, muzik dan filem untuk diadun dengan dunia magisnya, kebanyakan idea Bach adalah yang terkini. Bahkan, beliau jarang sekali mementaskan helah ulangan.

“Detik yang paling menakutkan saya sepanjang persembahan silap mata ini adalah ketika aksi melepaskan diri daripada jaket lurus sambil dijulang di udara bersama bahang api di bawahnya,” katanya yang turut tersohor dengan helah meloloskan diri dari dalam air sejak tahun 2002.

Aksi yang berisiko tinggi itu dipentaskan buat julung-julung kalinya di taman percutian keluarga, Genting Highlands. Menurut Bach, impian itu telah lama tersemat dalam hatinya sejak beliau mula menceburkan diri dalam dunia persembahan pentas pada umur 12 tahun.

Pernah cedera ketika mengadakan pertunjukan menggunakan mentol lampu pada awal penglibatannya dalam bidang tersebut, suami kepada Magdalena Bach itu tidak lekang mengadakan pertunjukan amal kepada kanak-kanak di hospital.

“Berkongsi keceriaan bersama kanak-kanak adalah detik yang amat manis apatah lagi jika mereka menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang ini.

“Baru-baru ini saya sempat meluangkan masa menghiburkan mereka di wad pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” maklumnya sambil mempamerkan pelbagai mimik muka yang melucukan.

Mainan emosi pasir Daria

Mencatat jumlah penonton mencecah puluhan juta di laman Youtube, pelukis pasir kelahiran Ukraine itu tampil dengan permainan emosi bersama penceritaan menakjubkan di kanvas putih berkaca.

Mengilhamkan riwayat hidup legenda pop Michael Jackson, pelukis pasir itu turut menerapkan elemen animasi, fantasi dan kartun dalam kebanyakan persembahannya.


PASUKAN akrobatik Puyang Huachen dari China yang membuat persembahan di Pavilion, Genting.


“Idea setiap karya saya datang berdasarkan emosi dan perasaan saya ketika itu, adakalanya muzik juga memainkan peranan penting untuk saya menjiwai hasil seni yang bakal saya pertontonkan,” kata pemilik nama asal Daria Pushankina.

Daria turut menjalinkan teknik penceritaan yang unik dan tersendiri untuk memberikan hasil pertunjukan yang berbeza-beza tiap kali beliau beraksi di pentas.

Pelajaran dalam seni lukisan pasir diperoleh daripada eksplorasi bersama pelajarnya di dalam kelas lukisan selain didorong oleh kehebatan karya artis lukisan pasir lain seperti Ilana Yahav, Ferenc Cakó, Su Dabao dan David Myriam.

Bagi Daria yang mengandaikan dirinya masih mentah dalam seni penghasilan karya pasir secara langsung kepada penonton, beliau sering menjadikan sejarah lampau dan biografi tokoh ternama sebagai rujukan.

“Bukan mudah untuk berkarya secara terus kepada khalayak kerana risiko sesebuah lukisan yang diilhamkan direalisasikan itu gagal sangat tinggi.

“Maka, kaedah terbaik untuk menawan hati peminat adalah dengan menggabungkan elemen utama kehidupan iaitu muzik, pergerakan dan emosi untuk mengeluarkan impak maksimum kepada penonton,” ujarnya yang berminat menurunkan ilmunya kepada rakyat Malaysia.

Aksi akrobatik China

Tidak lengkap andai emosi yang dibuai sambil fikiran terawang-awang memikirkan taktik yang dipertontonkan terhenti di situ.

Kemunculan pasukan akrobatik Puyang Huachen menggamatkan suasana bersama aksi-aksi luar jangkaan yang penuh bertenaga. Antaranya menjugil dram menggunakan kaki, loncatan tali seirama dan pelbagai aksi berani mati yang dilakukan oleh pelagak seawal usia lapan tahun.

Jurulatihnya, Zhang Jun He memberitahu, seni yang diperturunkan sejak 3,000 tahun lalu itu kini diwariskan kepada lebih 200 orang akrobat yang bernaung di bawah persatuannya.

“Latihan pada awal usia tiga hingga empat tahun adalah yang terbaik untuk mendapatkan struktur dan postur tubuh yang sesuai,” tambah kapten kepada pasukan yang telah menjelajah lebih 40 buah negara itu.

Menjayakan lebih 3000 persembahan, pasukan akrobatik itu mampu menghasilkan sepuluh persembahan berasingan di sepuluh lokasi berbeza pada satu-satu masa.


BACH membuka tirai persembahan dengan kemunculannya dari kotak kekunci gergasi.


Semarak GLITZ

Selain dikenali di serata dunia, Puyang Huachen pernah memenangi pelbagai anugerah antaranya Outstanding Chinese Export Cultural Enterprise pada tahun 2008 dan National Key Export of Cultural Event untuk tahun 2009 dan 2010.

Sementara itu, panggung Pavilion yang mampu memuatkan lebih 6,000 pengunjung pada satu-satu masa bergema dengan sorakan penonton yang terpesona dengan kehebatan silap mata, keunikan karya dan aksi daripada ketiga-tiga penghibur itu.

Panggung tersebut pernah menerima kunjungan daripada ahli silap mata tersohor dunia lain umpamanya Ernesto Planas dari Cuba dan Sonny Fontana dari Venezuela sempena rangkaian persembahan dalam Dazzle selain pelbagai persembahan menarik yang lain.

Penolong Timbalan Presiden Bahagian Promosi dan Hiburan Genting Highlands Berhad, Kevin Tan Choon Keat memberitahu, persembahan GLITZ yang bertemakan ilusi, suspens dan imaginasi itu telah membuka tirai persembahan sejak 1 November lalu.

Sehingga 30 April tahun hadapan, The Pavilion yang terletak di First World Plaza, Genting Highlands akan dipenuhi dengan sentuhan pesona magis setiap hari bermula dari pukul 9 malam.

“Tiket dijual pada harga RM70 hingga RM100 untuk dewasa dan RM35 hingga RM50 bagi penonton cilik,” ujarya pada majlis pratonton GLITZ di Pavilion baru-baru ini. Tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.rwgenting.com atau menghubungi talian 03-2718 1118.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: