KUALA LUMPUR: GARA-GARA mengalami mimpi ngeri menjadi buta, pelakon Syafie Naswip,18, muncul dengan imej tersebut pada Anugerah Skrin 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 24 Disember lalu.
Syafie yang tampil dengan kanta lekap sebelah kanan berwarna putih memberitahu pada suatu malam dia bermimpi matanya buta sehingga pada keesokan harinya dia berhasrat untuk merasai pengalaman itu.
“Saya ni pelik sikit. Selepas mimpi macam tu, terus saya pun terasa macam mana kalau menjadi seorang yang buta?
”Sehinggalah dalam Anugerah Skrin tempoh hari, saya tampil dengan imej tersebut. Kanta lekap seperti orang buta itu diberikan oleh seorang mekap artis untuk saya pakai,” katanya.
Ujar Syafie, dia berpuas hati kerana dapat menunaikan hasrat untuk tampil dengan imej sebegitu hanya kerana bermimpi.
Bercerita mengenai pengalamannya menjadi pelajar tingkatan enam rendah di Sekolah Menengah Gombak Setia, Selangor, Syafie berkata sepanjang pengajian lepas dia dapat mengikuti kelasnya dengan baik.
Malah ujar Syafie dia tidak lagi “dibuli” berbanding ketika pertama kali berlakon filem beberapa tahun dahulu.
“Dulu tayar basikal saya pernah kena pancit. Budak-budak sekolah yang tak suka saya, suka buli saya,. Tapi itu dulu... sekarang tidak lag,. Semua pelajar sekolah boleh menerima saya seorang pelakon,” katanya.
Akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun hadapan, Syafie berharap dia dapat memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu nanti kerana hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Selain meminati bidang fotografi, Syafie juga berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang filem dan lakon layar.
“Insya-Allah, saya akan pastikan keputusan saya dalam STPM tahun hadapan cemerlang kerana hajat saya untuk terus belajar dalam bidang yang saya minati,” katanya yang baru tamat penggambaran filem Songlap pada 2 Disember lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: