MERSING - Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam sehingga mengorbankan empat mangsa termasuk seorang yang masih hilang memberitahu yang dia terpaksa berpaut pada serpihan kayu bot untuk menyelamatkan diri.
Lim Lee Ting, 37, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira 15 minit selepas bot yang mereka naiki bertolak dari kelong Wong Pak You berhampiran Pulau Sibu.
"Bot tersebut terbalik selepas dipukul ombak, ketika itu ramai penumpang mula menjerit meminta tolong.
"Saya terselamat ketika kejadian kerana sempat berpaut pada serpihan kayu bot yang pecah," katanya ketika ditemui di Hospital Mersing semalam.
Menurut Lee Ting, dia bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh bot pemancing warga tempatan yang lalu di lokasi kejadian kira-kira sepuluh minit selepas kejadian.
Lee Ting memberitahu, semua dokumen perjalanan miliknya bagaimanapun tidak sempat diselamatkan kerana tenggelam.
Sementara itu, seorang lagi penumpang, Wong Lee Wei, 40, mendakwa dia kerap datang ke kelong tersebut sebelum ini dan bot yang dinaiki juga sentiasa penuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: