Wednesday, December 29, 2010

Sambutan malam tahun baru di Esplanade


LOO ( belakang enam dari kanan) dan Lim (belakang empat dari kanan) bersama para penaja selepas sidang akhbar melancarkan Sambutan Tahun Baru Penang Golden 2011 di Hotel Gurney, Pulau Pinang baru-baru ini.


KEHANGATAN sambutan malam tahun baru di Esplanade, Padang Kota Lama, Pulau Pinang bakal digegarkan dengan konsert hebat yang menggabungkan artis-artis terkenal tanah air.

Bagi peminat muzik indie, nama kumpulan Hujan sudah pasti cukup mengujakan mereka untuk tidak berfikir panjang mengapa perlu menghabiskan keseronokan malam tahun baru di Pulau Mutiara.

Populariti mereka yang tidak perlu diperkenalkan lagi menerusi lagu-lagu seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada sudah pasti menjanjikan persembahan bertenaga di hadapan peminat-peminat di Pulau Mutiara.

Konsert khas Penang Golden 2011 (PG2011) New Year Countdown Celebration itu dibawakan oleh penganjurnya, CreatiVision D.C. Sdn. Bhd. (CreatiVision) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Bhd. (Celcom) adalah penaja utama.

Hujan selaku kumpulan utama pada malam itu dijangka tidak akan mengecewakan penonton dengan persembahan 10 buah lagu daripada album-album mereka.

Noh dan rakan-rakannya tidak sendiri pada malam itu kerana mereka turut ditemani rakan-rakan artis seperti kumpulan PeSawat, Dragon Red dan Villanz.

Turut membuat persembahan ialah juara Malaysia Idol musim pertama, Suki dan artis pop lagu-lagu Mandarin, Athena Ma.

Pengarah Urusan CreatiVision Adelyn Lim memberitahu, pihaknya menjangka kira-kira 100,000 rakyat Pulau Pinang termasuk pengunjung asing menghadiri acara berprestij tersebut.

Katanya, orang ramai pasti teruja melihat persembahan bunga api warna-warni selama lima minit menjelang tengah malam.

Dataran Majlis Perbandaran Pulau Pinang pula akan berubah wajah menempatkan gerai-gerai jualan makan pelbagai juadah enak Pulau Mutiara kepada pengunjung.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, CreatiVision sentiasa menunaikan janji dengan menyajikan hiburan dan malam tahun baru terbaik kepada orang ramai," ujarnya.

Gajet terkini

Sementara itu, Pengurus Besar Celcom negeri, Jerry Loo berkata, pihaknya teruja dipilih menjadi penaja rasmi sambutan itu nanti yang juga merupakan penglibatan kali keenam Celcom dengan CreatiVision dan kerajaan negeri.

Beliau menjangka sambutan malam tahun baru itu memberi peluang kepada Celcom meraikan para pelanggan setianya sekali gus menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk potongan harga dan gajet-gajet terkini.

"Kami juga ada menawarkan potongan untuk setiap pembelian dan pakej terendah produk yang ditawarkan syarikat seperti langganan jalur lebar, netbook, komputer riba dan telefon pintar.

"Dengan pembelian kad tambah nilai Celcom serendah RM10, pelanggan juga berpeluang memenangi sebuah motosikal Momos Madass 125 serta pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah," katanya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: