JAKARTA – Penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali mengakui yang dia tidak menyangka akan membawa pulang trofi selaku penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010.
Safee, 26, gagal menjaringkan sebarang gol ketika aksi peringkat kumpulan di sini dari 1 hingga 7 Disember lalu.
Namun, penyerang Selangor kelahiran Kajang itu meledak dua gol ketika separuh akhir pertama menewaskan Vietnam 2-0 dan dua gol ketika final pertama menewaskan Indonesia 3-0 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Pada final kedua di sini malam tadi, Safee memastikan gelaran penjaring terbanyak menjadi miliknya apabila menjaringkan satu gol biarpun Malaysia tewas 1-2.
“Sepanjang sebulan kejohanan ini, saya sentiasa berusaha keras untuk meningkatkan prestasi.
“Apa pun, ini semua terhasil menerusi usaha dan kerjasama sepasukan yang telah membantu saya menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan ini,” kata Safee pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Safee kini berstatus peledak paling berbisa di Asia Tenggara mengetepikan penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang sekadar mengumpul tiga gol di tempat kedua senarai penjaring terbanyak.
Bagi anugerah pemain paling bernilai (MVP) untuk kejohanan kali ini, ia menjadi milik kapten Indonesia, Firman Utina biarpun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti malam tadi.
Firman membawa pulang wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM30,951).
Sementara itu, selaku juara, Malaysia berjaya meraih wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM309,510) manakala Indonesia yang menjadi naib juara menerima habuan AS$50,000 (RM154,755).
Sepanjang lapan edisi kejohanan, hanya empat pasukan pernah bergelar juara iaitu Thailand, Singapura, Vietnam dan terbaru Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: