PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Hans Isaac terpaksa melupakan seketika kerja seninya demi memberikan perhatian kepada kesihatan ibunya, Carmina Isaac, 72, dalam dua hingga tiga bulan ini.
Namun bukan bermakna melupakan terus, sebaliknya tumpuan utamanya lebih diberikan kepada ibu berbanding kerjaya.
Katanya, ibu lebih penting dari segala-galanya dan tidak kisah untuk menghabiskan masa bersama-sama wanita yang menjaganya sejak kecil.
Malah dia menganggap penundaan teater muzikal Lat The Kampung Boy yang sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya pada Disember ini kepada Mac 2011 sebagai suatu hikmah dari Tuhan.
“Nampaknya Tuhan sudah mengatur yang terbaik untuk saya dan memberikan petunjuk agar saya menjaga mak. Kalau saya teruskan untuk membuat teater itu mungkin tak dapat fokus.
“Saya tetap bersyukur kerana ibu saya pun semakin pulih. Apa-apa pun, saya tetap akan menjaganya dan meluangkan masa kepadanya. Selepas itu, baru saya akan tumpukan kepada kerja. Saya juga bernasib baik kerana mempunyai pasukan (Tall Order Productions Sdn Bhd) yang bagus,” katanya yang menyambut Hari Krismas pada 25 Disember lalu di rumah ibunya di Ampang.
Bagaimanapun, pengarah filem Cuci The Musical ini sempat berkongsi perancangannya untuk tahun 2011.
Menurut pelakon filem Misteri Jalan Lama yang bakal ditayangkan di pawagam pada Mac ini, dia bakal menerbitkan tiga buah drama rantaian iaitu 7 Gerhana (Astro), Cinta Melbourne (TV3) dan Cuci Cuci Services musim kedua (RTM) serta dokumentari Underwater (TV3).
Menariknya untuk Cuci Cuci Services 2, dia akan menampilkan watak baru dalam drama tersebut dengan menampilkan gandingan hebat pelakon Nabil (Raja Lawak), Afdlin Shauki dan Awie yang sinonim dengan teater Cuci The Musical yang telah dua kali dipentaskan di Istana Budaya.
Hans juga berkongsi berita gembira bahawa Cuci The Musical juga bakal dipentaskan buat kali ketiga di Istana Budaya pada Februari 2012 atas permintaan pihak Istana Budaya dan peminat.
“Bermula 2011, saya akan siapkan empat projek untuk TV secara berperingkat sehingga bulan Julai. Selepas itu saya akan mengarah dua buah filem bermula Julai hingga Disember.
“Saya mensasarkan untuk berlakon sebuah filem dalam setahun. Jadi pada tahun 2011 saya harap mendapat tawaran berlakon filem yang mempunyai skrip yang bagus,” ujarnya yang turut akan mengarah dokumentari Underwater.
Sementara tiga buah drama lagi diserahkan kepada pengarah yang mendapat kepercayaannya seperti Heykal Hanafiah, Harun Salim Bachik dan pengarah baru.
Sempena Tahun Baru yang bakal menjelang beberapa hari lagi, Hans turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011.
“Saya nak ucapkan kepada semua kawan-kawan, jangan selalu memikirkan tentang kerja sehingga melupakan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita kena cari hidup yang seimbang agar pandai membahagikan antara kerja, diri-sendiri dan keluarga.
“Jadi, mulanya tahun baru ini, jaga diri baik-baik,” luahnya dengan suara serak kerana terlalu seronok menonton perlawanan bola sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad, yang menyaksikan kemenangan kepada pasukan Malaysia sekaligus menewaskan pasukan Indonesia dengan 3-0.
Hans turut berpuas hati dengan pencapaian terbaik yang dilakukan oleh pasukan bola sepak Malaysia setelah 14 tahun menanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: