Thursday, December 30, 2010

Aiman ikon Planta baru


PARA penyumbang resipi meraikan detik bersejarah bersama Planta di Restoran Saloma & Theatre, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.


TARIKH 15 Disember lalu menjadi momen indah buat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun kerana dipilih sebagai Budak Planta (Planta Boy) yang baru.

Wajah Muhammad Aiman Fitri Azrul Nizam akan menghiasi produk marjerin Planta di pasar raya di seluruh Malaysia.

Anak kepada Azrul Nizam Anuar, 32, dan Nurfaezah Mohd. Tohid, 31, bukan sahaja akan menghiasi produk Planta malah turut menerima satu dana pendidikan bernilai sehingga RM10,000 dan sebuah komputer.

Bukan itu sahaja, sekolahnya, Sekolah Rendah Damansara Utama juga akan menerima tujuh buah komputer baru.

Ibunya, Nurfaezah langsung tidak menyangka penyertaan secara suka-suka mempertaruhkan wajah anaknya yang comel beberapa bulan yang lalu di Pasar Raya Giant Kota Damansara membawa tuah.

"Sebulan lalu saya diberitahu bahawa anak saya terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis Budak Planta yang baru dan hari ini baru kami tahu bahawa Aiman terpilih," katanya yang menggunakan Planta untuk sapuan roti buat anak-anaknya.

Aiman yang merupakan penggemar nasi goreng Planta kelihatan tersipu-sipu malu dan tersenyum apabila disuruh memberikan aksi-aksi istimewa.

Menurut Pengurus Jenama Makanan, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Quah Seng Khie, pencarian budak Planta baru adalah satu daripada empat inisiatif utama tahun ini.

"Memang selama ini telah menjadi tradisi kami untuk memaparkan gambar seorang kanak-kanak pada pembungkusan produk dan kami berasa bahawa pencarian personaliti ikonik di seluruh negara seharusnya melibatkan pelanggan-pelanggan setia kami.

"Ia satu pencarian yang menyeronokkan dan kami berbangga untuk memperkenalkan wajah baru tab Planta dalam acara hari ini," katanya.

Planta sudah menjadi sebahagian daripada tradisi keluarga Malaysia lantaran telah diterima sebagai salah satu bahan utama di dapur, baik dalam kegunaan harian mahupun pada musim perayaan.

"Selain daripada pencarian Budak Planta, Planta juga memulakan ekspedisi untuk mengumpulkan 80 resipi Planta yang paling asli dan tradisional dari segenap pelosok negara.

"Setelah menjadi bahan pelengkap dalam kepakaran memasak setiap kaum, Planta berazam untuk mewujudkan satu koleksi masakan paling asli di Malaysia yang amat bernilai," ujar Seng Khie.

Tambahnya, 80 tahun yang telah berlalu adalah satu perjalanan hebat buat jenama Planta.

"Kami bukan sahaja berkongsi dan meraikan detik-detik bersejarah dengan warga Malaysia, malah kini Planta telah menjadi satu jenama sebutan ramai dan bahan penting dalam resipi-resipi yang paling lazat.

"Oleh itu, ia akan menjadi satu pencapaian hebat jika kami berupaya mengumpulkan 80 masakan paling asli seperti Ayam Percik Kampung Planta, Kari Daging Ansar Planta dan Gulai Ikan Masin Terung dalam sebuah buku resipi mewah," katanya.

Para pengguna yang menyumbang resipi kepada buku mewah ini akan diberi hadiah berbentuk wang syiling emas edisi khas dan sebuah buku mewah yang telah ditandatangani untuk koleksi peribadi mereka.

Buku mewah yang menjadi buruan pengumpul itu akan dijual di semua kedai buku MPH di seluruh negara pada harga RM29.90.

Pada majlis meraikan ulang tahun ke-80 Planta di negara ini, Planta telah menyediakan persekitaran yang sempurna untuk memperlihatkan evolusinya melalui satu pameran di Restoran Saloma Theatre baru-batu ini.

Turut dipersembahkan kepada para tetamu sempena acara memperkenalkan Budak Planta yang baru itu, tayangan iklan hitam putih disiarkan sementara sebuah pameran yang memaparkan kaedah pembungkusan dari tahun 1930-an telah dilangsungkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: