Wednesday, December 29, 2010

Pengisian rohani menerusi pelbagai program keagamaan




Penjenamaan baru yang merangkumi kesemua program-program keagamaan di TV9, Raudhah, akan menjadi lebih mudah buat penonton untuk mengikuti rancangan-rancangan kegemaran mereka.

Penjadualan utama yang diatur adalah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 7 pagi hingga 10 pagi, 6.30 petang dan pada 10 malam hingga 11 malam.

Raudhah merangkumi lapan program ilmiah, iaitu Akademi Al-Quran 5 (AQ5), Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik & Al-Quran.

Kesemua program ini amat sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga tanpa mengira had umur dan pada masa yang sama mendidik jiwa masyarakat sekeliling untuk mendalami ilmu jasmani dan rohaniah menerusi televisyen.

Bukan itu sahaja, malah terdapat lebih banyak lagi rancangan baru yang bakal diperkenalkan sepanjang tahun hadapan.

Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, penjenamaan Raudhah diperkenalkan sebagai satu destinasi untuk kesemua penonton Muslim moden di mana mereka dapat mencari pengisian rohani.

“Menerusi program-program yang disediakan ini, penonton juga berpeluang untuk berinteraksi terus bersama panel-panel serta pengacara untuk bertanyakan kemusykilan tentang pengisian Islam.

“Kami percaya ramai di luar sana yang mengharapkan program-program sebegini dan kami berjanji akan memberikan kandungan kualiti yang terbaik khusus buat penonton setia TV9,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: